Berita Utama

Premis perniagaan, pusat agama disyor laksana konsep bank makanan

Sediakan tempat khas letak bantuan keperluan asas barangan

KUALA LUMPUR, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Konsep bank makanan wajar diterapkan di setiap premis perniagaan dan pusat keagamaan bagi membantu golongan memerlukan terutama ketika wabak COVID-19.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris berkata, usaha murni ini bukan suatu paksaan, tetapi berunsur cadangan dalam membabitkan kerjasama semua pihak.

Katanya, premis perniagaan tidak kira bersakala besar atau sederhana boleh berinisiatif menyediakan tempat khas bagi meletakkan bantuan keperluan asas barangan.

Misalnya, menyediakan tempat khas tersebut di pasar basah, tani dan pasar malam, kedai runcit, restoran, kedai cermin mata, farmasi, stesen minyak, kedai basikal dan banyak lagi.

“Kita faham perniagaan dan ekonomi tidak menentu sekarang dan ia bukan satu paksaan kepada setiap premis perniagaan menyediakan ruang bank makanan, sebaliknya hanya satu tanggungjawab bagi membantu golongan memerlukan dengan sumbangan bergantung kepada kemampuan masing-masing.

“Pusat keagamaan seperti pengurusan surau, masjid, tokong, kuil dan gereja juga boleh menyokong konsep bank makanan dengan lebih meluas kerana keberadaan pusat keagamaan dekat dalam kelompok komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razali percaya langkah proaktif konsep bank makanan yang digerakkan secara bersepadu ini akan memberi impak efektif kepada kerajaan menerusi Program Bakul Makanan.

Katanya, ia termasuk Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Konsep bank makanan berlandaskan sikap kesukarelawanan membolehkan jiwa kebajikan terus dipupuk dalam kalangan rakyat memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan.

“Ia tidak kira kelompok B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) M40 (40 peratus pertengahan), pelajar, orang kurang upaya (OKU), anak asnaf, mangsa banjir, gelandangan dan rumah kebajikan orang tua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button