Berita UtamaIstimewa

Puad soal, penerbit buku memoir Tommy Thomas ‘think tank’ DAP?

Dakwa bekas AG hina keputusan Hakim Mahkamah Koroner berhubung kematian Adib

BANGI, 22 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Tatkala Tan Sri Tommy Thomas menerima kecaman teruk daripada ramai pihak berhubung kandungan buku tulisan diterbitkannya baru-baru ini, parti tamak haloba DAP dilihat masih berdiam diri.

Pelik dengan perkara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membangkitkan persoalan sama ada penerbit kepada buku memoir ini adalah ‘think tank’ kepada DAP.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, beliau berkata, banyak pihak mengecam buku memoir Tommy – bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ – atas dakwaan buku itu bertentangan dengan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950.

Bahkan katanya, ada yang menuduh Tommy melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan mahu bekas Peguam Negara (AGC) itu didakwa.

Ini kerana kata beliau, selaku penasihat utama kerajaan, Tommy terikat dengan kerahsiaan di bawah Artikel 145.

“Pada Tommy orang lain adalah dungu. Sebab itu dia dikecam teruk oleh Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman (JALSOA). Bekas Peguam Cara III Datuk Hanafiah Zakaria pula telah buat laporan polis terhadap Tommy.

“Tetapi DAP satu-satunya pihak yang terus senyap sepi, bisu dan tidak beri komen. Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng juga tidak bersuara. Kenapa?,” soalnya.

Beliau juga mepersoalkan sama ada memoir ini ditulis ikut telunjuk pihak tertentu sampai menghina Allahyarham Tun Abdul Razak sementara Lim Guan Eng pula dianggap suci bersih.

“Hanya Gopal Sri Ram yang beriya-iya pertahankan Tommy. Bagi Gopal pendedahan dalam buku memoir itu tidak terikat kepada Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

“Seksyen 126 menyatakan tidak ada peguam yang diizinkan, kecuali dengan persetujuan anak guamnya, untuk dedah komunikasi yang diberi kepadanya ketika melaksana fungsinya sebagai peguam kepada anak guam itu,” katanya.

Berhubung pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam buku memoir itu, Puad berkata, Tommy turut menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner.

“Padanya (Tommy) keputusan itu adalah ‘absurd’. Sepatutnya Tommy didakwa kerana menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner.

“Dalam kes Arun Kasi, dia telah didakwa oleh Tommy kerana mengkritik penghakiman Mahkamah Persekutuan. Kenapa double standard?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button