Berita UtamaIstimewa

Dong Zong mesti diharamkan! Jangan biar ‘cacing naik ke mata’

Pertubuhan radikal Cina tak bersyukur toleransi yang diberi selama ini

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – “Apakah matlamat sebenar Dong Zong mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan kajian soal selidik ke atas pembelajaran Jawi di SJKC?

“Adakah tindakan pertubuhan rasis ini memberi mesej bahawa isu pendidikan di sekolah vernakular adalah hak mutlak mereka?

Demikian persoalan dibangkitkan Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) yang berang dengan tindakan Dong Zong apabila masih bersikap tidak profesional dalam isu pendidikan.

Dong Zong dilaporkan mendesak KPM membatalkan kajian soal selidik berkaitan pembelajaran Jawi dalam buku teks Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Pertubuhan rasis itu turut meminta majlis pengelola sekolah Cina, PIBG dan persatuan-persatuan yang membabitkan ibu bapa dan orang awam untuk terus teguh dengan pendirian menolak mod pembelajaran dan pengajaran Jawi.

Memetik laporan Oriental Daily, Dong Zong mendakwa, modul pembelajaran Jawi KPM untuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) telah mencetuskan kontroversi yang hebat dan menerima tentangan yang meluas sebelum ini.

Dakwanya, hasil kajian soal selidik KPM tahun lepas telah membuktikan pelaksanaan pembelajaran modul Jawi KPM adalah suatu tindakan tidak popular, namun KPM enggan menerima kenyataan dan pandangan orang ramai, mahu terus membuat kajian soal selidik baharu bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Jawi.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi Dong Zong, sebanyak 1,275 buah SJKC iaitu 98 peratus di seluruh negara menolak modul pembelajaran Jawi.

“Tindakan KPM yang enggan menerima kenyataan, bukan sahaja membazirkan pelbagai sumber, menambahkan pecah-belah dalam masyarakat majmuk selain menyebabkan orang ramai rasa penat dan bosan,” dakwanya.

Sebelum ‘cacing naik ke mata’ Ketua Wanita BERJASA, Azizah Che Awang menggesa tindakan tegas diambil termasuk mengharamkan mana-mana pertubuhan rasis seperti Dong Zong, yang mempertikai tindakan KPM.

Bahkan, pihaknya mengecam dakwaan Dong Zong yang mendakwa usaha KPM ini kononnya boleh memecah belahkan masyarakat.

Walhal katanya, kewujudan sekolah vernakular itu sendiri adalah punca longgarnya perpaduan di kalangan rakyat majmuk di Malaysia.

“Dong Zong perlu sedar sekolah vernakular telah beroperasi sejak merdeka tanpa gangguan sedangkan penubuhan sekolah vernakular ini tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tidakkah mereka bersyukur dan berterima kasih di atas toleransi tinggi yang diberikan selama ini?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button