Berita Utama

Lebih 97 peratus premis diperiksa KPDNHEP patuh SOP PKP

554 premis dikenakan amaran, selebihnya diberi nasihat

PUTRAJAYA, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Lebih 97 peratus daripada 348,409 premis yang diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak 4 Mei 2020 sehingga 2 Feb lepas (Selasa) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata hanya 45 premis (0.013 peratus) daripada jumlah yang diperiksa dalam tempoh tersebut dikenakan kompaun, 554 premis (0.159 peratus) diberi amaran dan selebihnya diberi nasihat.

“Pendekatan kementerian adalah lebih kepada memudahcara pemain industri dalam konteks “ease of doing business” dengan kementerian mendahului memberi nasihat, amaran dan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, premis yang telah dikenakan kompaun termasuklah farmasi, kedai telekomunikasi dan restoran.

“Kementerian tidak akan teragak-agak untuk menutup sesuatu premis jika tahap ketidakpatuhan pada peringkat yang serius,” katanya.

Dalam lawatannya ke Malakat Mall di Cyberjaya pada Rabu lepas bagi memantau pematuhan SOP PKP, Rosol berkata premis-premis di pusat beli belah itu mematuhi 100 peratus SOP termasuk menyediakan QR Code MySejahtera, had bilangan pelanggan dalam premis dan penjarakan fizikal antara pelanggan manakala kedai-kedai yang tidak termasuk dalam senarai Majlis Keselamatan Negara tidak beroperasi.

Berhubung penguatkuasaan bekalan barang, Rosol berkata pemantauan yang dijalankan setiap hari di seluruh negara mendapati keberadaan bekalan barangan khususnya barang makanan dan keperluan asas seperti gula dan minyak masak di peringkat peruncit dan pemborong adalah pada tahap stabil dan mencukupi.

“Ini termasuklah di kawasan yang mengalami bencana banjir baru-baru ini dan sejumlah 181,151 peruncit, 53,912 pemborong dan 9,227 pengilang telah diperiksa dan dapatan mendapati tiada krisis yang direkodkan berlaku di mana-mana kawasan di negara ini,” katanya.

Rosol berkata sejak pelaksanaan PKP sehingga 1 Februari lepas, 5,981 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button