Berita Utama

2 pelajar UiTM tersenarai antara 10 terbaik dunia bagi peperiksaan ACCA dan CAT

Fatin Najwa, Putera Aiman buktikan kecemerlangan bumiputera dalam bidang perakaunan

SHAH ALAM, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Dua pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 terbaik dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lepas.

UiTM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dua pelajar berkenaan adalah Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, pelajar semester akhir program CAT.

Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA) manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama di Malaysia dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).

Dalam kenyataan sama, Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Haslinda Yusoff berkata, kedua-dua pelajar tersebut amat komited dan berdedikasi dalam pelajaran ditambah suasana pembelajaran yang positif.

“Pihak fakulti amat proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif di UiTM merupakan kombinasi dalam kejayaan pelajar.

“Kejayaan ini juga turut membuktikan kecemerlangan bumiputera dalam bidang perakaunan. Ia boleh dijadikan rangsangan bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan bumiputera terbaik di dunia,” katanya.

Haslinda berkata, kedua-dua pelajar berkenaan juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada semua warga UiTM untuk terus memberikan yang terbaik demi menjadikan universiti itu sebuah institusi pendidikan unggul dunia.

UiTM merupakan universiti awam pertama di Malaysia menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian awam utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button