Berita Utama

Gesa KDN haramkan buku Tommy Thomas

Boleh jadi akibat buruk jika dibaca masyarakat tak arif sistem perundangan

BANGI, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk menarik balik penerbitan cetakan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjudul ‘My Story: Justice In Wilderness’ yang dilancarkan minggu lalu.

Bahkan, KDN juga perlu mengharamkannya daripada disebarkan, demikian desak Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nazir Helmi.

Katanya, terdapat unsur penghinaan terhadap Institusi Diraja dan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, apabila penulis seolah mempertikaikan keputusan Agong waktu itu berkenaan pelantikan beliau dan kemampuan Seri Paduka Baginda membuat keputusan dalam pelantikan Peguam Negara.

“Tulisan beliau menggambarkan bahawa terdapat manipulasi kotor yang sedang berlegar dalam institusi kehakiman dan perundangan, yang akan menyebabkan keraguan yang tinggi oleh rakyat terhadap sistem keadilan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nazir mendakwa, buku berkenaan turut mendedahkan tuduhan melampau terhadap beberapa kes berprofil tinggi yang mana segala tuduhan datang daripada bekas Peguam Negara, bukannya peguam biasa.

Bukan itu sahaja, katanya, kandungan buku itu turut menimbulkan kembali keraguan terhadap peristiwa 13 Mei yang mengorbankan ratusan nyawa akibat daripada rusuhan kaum, selain menuduh beberapa individu menjadi dalang daripada peristiwa ini tanpa bukti yang sahih.

Justeru, pihaknya berpendapat bahawa penerbitan buku berkenaan boleh menjadi akibat buruk sekiranya ia berada di pasaran dan dibaca oleh masyarakat yang tidak arif berkenaan sistem perundangan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button