Berita Utama

Haramkan buku Tommy Thomas! Sarat dengan manipulasi sejarah

Banyak andaian tanpa sebarang sokongan fakta: MUAFAKAT

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak sepatutnya dibiarkan beredar di kalangan masyarakat kerana dipercayai boleh membuat sesetengah pihak keliru dengan fakta sejarah.

Atas dasar itu, Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris mendesak buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan itu diharamkan.

Beliau yakin ketika ini ramai kalangan orang Melayu yang membaca buku bekas peguam negara itu akan memberi respon negatif.

“Bahkan tidak mustahil mendorong sebahagiannya membuat laporan polis kerana isi kandungannya terlalu sarat kepalsuan dengan manipulasi sejarah.

“Kebanyakannya andaian dan khayalan beliau tanpa sebarang sokongan fakta bagi menyokong kenyataannya itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Bagaimanapun apa yang mengecewakan Haji Rashidi adalah apabila ada segelintir pihak bersikap apologetik berhubung kandungan buku memoir yang didakwa menghina orang Melayu itu.

Tanpa merujuk mana-mana pihak, beliau berkata, tindakan sedemikian secara tidak langsung membenarkan bangsa lain menghina bangsa Melayu.

Katanya, pada masa sama, memberi peluang kepada golongan kiasu terus menerus menghina orang Melayu, dengan alasan Malaysia adalah negara perpaduan yang masyarakatnya adalah majmuk, maka Islam yang merupakan agama berkasih sayang tidak gopoh memberi respon negatif.

“…tetapi tenang dan lebih kepada mahu bermuzakarah apabila berhadapan dengan sesuatu masalah mencari jalan penyelesaian sekalipun Melayu dihina bertubi-tubi.

“Golongan Melayu apologetik ini akan memberi pelbagai alasan dan menggunakan bahasa yang indah-indah untuk mengaburi dan memadam semangat kebangsaan dalam jati diri orang Melayu.

“Kononnya biar orang lain hina kita, jangan kita menghina mereka; kita jangan bersikap dengan sikap keji bangsa orang lain itu,” katanya.

Setakat pagi tadi, polis menerima tujuh laporan berhubung dakwaan memfitnah yang dilaporkan dilakukan Tommy Thomas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada masa ini polis masih menjalankan siasatan terhadap setiap dakwaan yang dikaitkan terhadap Tommy.

“Sehingga pagi tadi, polis sudah menerima tujuh laporan di seluruh negara. Kita akan mengambil kenyataan semua pihak yang terbabit seperti dilaporkan untuk proses rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan.

“Pada masa ini, kita serahkan kepada pegawai penyiasat menjalankan tugas. Beri mereka masa untuk memanggil semua mereka yang terbabit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button