Harga petrol naik 3 sen, diesel 4 sen
Kenaikan harga baharu berkuat kuasa tengah malam ini hingga 12 Februari
BANGI, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik tiga sen seliter, berkuat kuasa tengah malam ini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan turut mengumumkan kenaikan harga runcit diesel sebanyak empat sen iaitu daripada RM2.07 kepada RM2.11 seliter.
Harga runcit produk petroleum bagi tempoh 6 Februari sehingga 12 Februari itu dibuat berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
“Harga runcit petrol RON95 naik sebanyak tiga sen seliter iaitu daripada RM1.90 kepada RM1.93 seliter.
“Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak tiga sen iaitu daripada RM2.20 kepada RM2.23 seliter,” katanya.
Kementerian itu berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.