Berita Utama

‘Hentikan politiking, bela nasib rakyat’

Lebih baik bantu kerajaan bendung COVID-19, supaya PRU dapat segera diadakan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Rakyat tidak nampak nampak usaha pembangkang dalam membantu serta menjaga kebajikan rakyat yang kini terdesak meneruskan kehidupan. 

Yang ada, hanya ‘suara’ dan provokasi terhadap tindakan kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19. 

Walhal, pembangkang masih boleh berfungsi sebagai ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan dalam menguruskan pandemik, meskipun Parlimen tidak dapat bersidang berikutan pelaksanaan darurat.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, pembangkang boleh berperanan untuk mendidik masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) wabak yang ditetapkan kerajaan.

Langkah itu adalah lebih baik berbanding hanya mencari sudut menyalahkan kerajaan, termasuk mencetuskan provokasi lain berkaitan politik, katanya. 

“Dalam waktu begini, pembangkang atau pemimpin politik patut berhenti memfokuskan kepada hal-hal berkaitan dengan politik.

“Sebaliknya, bersama kerajaan membantu rakyat ‘mengisi perut’ dan meringankan mereka yang hilang pekerjaan akibat terkesan COVID-19,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Syed Agil berkata, pembangkang tidak boleh meletakkan semua tanggungjawab kepada kerajaan semata-mata. 

“Inilah masa mereka hendak menunjukkan bahawa mereka boleh diharap dan menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Saya melihat perancangan mereka kurang jelas sekiranya mahu rakyat mengundi mereka pada pilihan raya umum akan datang untuk menjadi kerajaan baru,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan parti pembangkang untuk berhenti bercakap mengenai politik, sebaliknya menumpukan kepada keperluan dan kebajikan rakyat untuk bertahan dalam tempoh ini.

“Kalau pembangkang berfikir begitu, maka tidak mustahil kita boleh percepatkan PRU dalam keadaan wabak semakin reda dan semua orang gembira.

“Pembangkang harus membuktikan bahawa mereka juga berupaya membela nasib rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button