Berita Utama

Pertemuan 4 mata Muhyiddin dengan Jokowi

'Terdapat beberapa perkara menyentuh kepentingan negara memerlukan perbincangan peringkat tertinggi'

JAKARTA, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Acara kemuncak lawatan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia hari ini adalah mesyuarat empat mata antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Mesyuarat secara bersemuka itu akan berlangsung di Istana Merdeka, di sini.

Muhyiddin dijadualkan tiba di istana berkenaan pada pukul 10.30 pagi (11.30 pagi waktu Malaysia) dan akan diberikan sambutan negara sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan dengan acara mesyuarat.

Mesyuarat akan berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard pencegahan COVID-19 yang ketat.

Seorang diplomat Malaysia di Indonesia, berkongsi dengan media baru-baru ini mengenai pentingnya pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu.

“Terdapat beberapa perkara yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara yang memerlukan perbincangan peringkat tertinggi, perbincangan secara bersemuka dan dari hati ke hati,” kata Duta Besar Malaysia untuk Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar.

Kemudiannya, kedua-dua pemimpin berkenaan akan mengadakan sidang media bersama sebelum menunaikan Solat Jumaat di Masjid Baiturrahim di kompleks istana.

Presiden yang terkenal dengan panggilan Jokowi itu akan menjadi hos acara jamuan makan tengah hari rasmi sempena lawatan perdana menteri bersama rombongan kecilnya di istana presiden lain, iaitu Istana Negara di sini, dengan pematuhan SOP yang ketat.

Muhyiddin yang tiba di sini pada pukul 4.30 petang Khamis akan menamatkan lawatan rasminya dalam tempoh kurang 24 jam.

Lawatan diadakan atas undangan Presiden Indonesia dan ini adalah lawatan rasmi pertama Muhyiddin sejak menjawat jawatan Perdana Menteri pada Mac tahun lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button