Berita Utama

Jangan pamer, lekat lambang darjah kebesaran Pahang di kenderaan

Penerima didapati langgar kesalahan akan ditarik balik pingat

KUANTAN, 28 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang diberi peringatan untuk tidak mempamer atau melekatkan lambang darjah kebesaran atau pingat negeri pada kenderaan mereka.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, peringatan itu dibuat bagi menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini bersemayam di Istana Negara.

Peringatan itu diberikan mengikut Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017, melibatkan gelaran atau anugerah dikurniakan Sultan Pahang.

“Penerima darjah kebesaran dan pingat didapati melanggar atau melakukan kesalahan di bawah enakmen ini akan berhadapan dengan tindakan penarikan balik darjah dan pingat yang telah dikurniakan.

“Manakala mereka yang didapati menggunakan gelaran palsu juga boleh didakwa mengikut peruntukan sama,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Khirrizal berkata, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dimohon untuk bekerjasama dalam mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

Pada Ogos lepas, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman juga telah memberi peringatan bahawa semua pihak tidak dibenarkan memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan tanpa kebenaran.

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan pada Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 dan individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button