Dunia

Yaman terima vaksin COVID-19 pada Mac

Peruntukan pertama vaksin AstraZeneca sebanyak 2.3 juta dos

SANAA, 23 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Yaman menjangkakan menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama – sebanyak 2.3 juta dos – menjelang bulan Mac melalui rundingan di bawah inisiatif COVAX. 

Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Yaman, Philippe Duamelle berkata, kerajaan mengambil bahagian bagi memenuhi keperluan awal 23 peratus rakyatnya dengan peruntukan 14 juta dos vaksin.

“Peruntukan pertama sebanyak 2.3 juta dos telah disahkan dan akan diterima pada akhir Februari atau awal Mac bergantung kepada bekalan vaksin,” katanya

COVAX diterajui bersama oleh pakatan GAVI – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Gabungan untuk Inovasi Penyediaan Wabak dan UNICEF – yang menjamin bekalan vaksin untuk negara-negara miskin. 

Menurut Duamelle, Yaman akan menerima vaksin AstraZeneca melalui inisiatif COVAX. Ia bertujuan untuk memvaksinasi 70 peratus penduduk Yaman.  

Kementerian Kesihatan bagi kerajaan Yaman yang diperakui antarabangsa hari ini memberitahu bahawa pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief) Arab Saudi untuk membiayai 50 peratus penduduk. 

Bulan lalu, Menteri Kewangan Arab Saudi memaklumkan sedang berbincang dengan pengeluar untuk memberikan vaksin COVID-19 kepada negara-negara berpendapatan rendah termasuk Yaman.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button