Dunia

ICC buka laluan siasatan jenayah perang di Palestin

Tindakan buatkan Israel, AS gelabah hingga sifatkan ICC badan politik

THE HAGUE, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memaklumkan, memiliki bidang kuasa terhadap kemelut melanda wilayah Palestin, sekali gus membuka jalan kepada tribunal berkenaan melakukan siasatan terhadap jenayah perang.

ICC dalam satu kenyataan memberitahu, barisan hakim memutuskan dengan majoriti bahawa bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi di Palestin meluas hingga ke wilayah ditakluki Israel sejak 1967 iaitu Gaza, Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur.

Menurut mahkamah itu lagi, ia bukan satu keputusan atas kenegaraan Palestin tetapi berikutan kedudukannya sebagai negara anggota bawah Statut Rome yang mendasari ICC.

“Kamar ini bukan memberi keputusan atas satu pertikaian sempadan bawah undang-undang antarabangsa, serta bukan melakukan prapengadilan terhadap persoalan mengenai sebarang persempadanan pada masa depan,” katanya.

Susulan daripada kenyataan itu, Israel yang bukan ahli kepada mahkamah berkenaan menolak ketetapan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengecam ICC dengan mendakwa ia adalah ‘badan politik’.

Amerika Syarikat (AS) pula menyuarakan ‘kebimbangan serius’ terhadap keputusan terbabit, manakala Palestin menyifatkannya sebagai ‘kemenangan untuk keadilan’.

Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda pada November 2019 berkata, terdapat alasan yang boleh dipercayai bahawa berlakunya jenayah perang di Tebing Barat, Genting Gaza termasuk Baitulmaqdis Timur.

Bensouda menggesa supaya siasatan penuh dilakukan berhubung isu berkenaan selepas siasatan awal dijalankan selama lima tahun. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button