Dunia

Indonesia larang sekolah wajibkan pakai tudung

Susulan kes murid perempuan Kristian dipaksa bertudung di sekolah

JAKARTA, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Kerajaan Indonesia mengambil keputusan untuk menguatkuasakan larangan memaksa murid perempuan daripada memakai tudung.

Ia susulan daripada kes seorang murid beragama Kristian di bandar Padang, dipaksa untuk memakai tudung di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.

Ibu bapa kepada pelajar tersebut kemudian secara rahsia merakam pertemuan bersama pegawai yang memberitahu, peraturan sekolah menetapkan semua pelajar perlu memakai tudung walau apa pun agama mereka.

Rakaman tersebut menjadi tular di media sosial dan pihak sekolah telah memohon maaf kepada murid perempuan berkenaan termasuk ibu bapanya.

Keputusan kerajaan itu disambut baik oleh kumpulan aktivis dengan berkata, tindakan memaksa perempuan bukan Muslim memakai tudung merupakan satu tindakan konservatif.

Menteri Pelajaran, Nadiem Makarim menegaskan, mana-mana sekolah yang gagal mematuhi perintah berkenaan bakal dikenakan tindakan pemotongan dana bantuan kerajaan.

Beliau berkata, pakaian melambangkan agama merupakan pilihan individu dan pihak sekolah tidak boleh menjadikan ia sebagai satu kewajiban.

“Dekri ini merupakan langkah positif bagi melindungi hak wanita di Indonesia,” kata aktivis hak asasi manusia, Andreas Harsono.

Beliau berkata, sekolah awam tidak seharusnya memaksa berjuta murid perempuan dan guru-guru wanita memakai tudung sehingga ada sesetengah kes membawa kepada peletakan jawatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button