Berita UtamaDunia

Sweden mahu perkukuh hubungan dengan negara Islam

Bersedia meneruskan sesi dialog secara terbuka

STOCKHOLM, 19 Muharam 1445H, Ahad – Sweden berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Islam, ketika mendapat kritikan meluas berhubung perbuatan keji kumpulan anti-Islam yang berterusan mencemarkan al-Quran.

Menteri Luar Sweden Tobias Billstrom berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan lebih 20 duta negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Stockholm, baru-baru ini.

Menerusi pertemuan telah membuahkan hasil yang membina dan bersedia untuk meneruskan dialog secara terbuka.

“Memulihkan kepercayaan dan keyakinan akan mengambil masa tetapi saya akan menumpukan sebahagian besar daripada tempoh ini untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Islam,”katanya.

Katanya Sweden secara dasarnya mengutuk keras tindakan kumpulan anti-Islam yang membakar al-Quran dan Kementerian Kehakiman Sweden kini sedang mengusahakan terma rujukan untuk siasatan untuk mengkaji semula Akta Ketenteraman Awam.

Billstrom juga menyuarakan hasrat untuk mengunjungi ke negara-negara OIC, dan akan menjadi tuan rumah perbincangan dan dialog berhubung dengan Perhimpunan Agung PBB di New York pada September depan.

Katanya, dalam pertemuan itu akan memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan pendekatan dan kebebasan dalam Perlembagaan negaranya dalam menghadapi insiden tersebut.

Minggu lalu, Menteri Kehakiman, Gunnar Strommer berkata, satu penyelesaian yang berpotensi untuk mencegah tindakan anti-Islam yang membakar al-Quran adalah dengan menggunakan kuasa kecemasan kerajaan di bawah Akta Ketenteraman Awam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button