Berita Utama

12,000 hektar tanah Musang King di Kedah akan disiasat

500 anak pokok durian didakwa sudah ditanam di Gunung Inas

ALOR SETAR, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Kedah akan menyiasat dakwaan sekurang-kurangnya 12,140 hektar tanah bukit antara Kulim dan Baling, terutama Gunung Inas telah dibangunkan sebagai ladang durian ‘Musang King’ terbesar di dunia, seperti didakwa seorang lelaki dalam sebuah video yang tidak bertarikh.

Dalam klip video tersebut, seorang lelaki dilihat mendakwa bahawa kawasan Gunung Inas akan menjadi ‘ladang durian terbesar’, dengan 500 anak pokok Musang King sudah ditanam, selain memiliki 550,000 anak pokok untuk keseluruhan ladang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu merupakan isu lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. 

Beliau berkata, pihaknya sudah pun menangani masalah itu tahun lalu.

“Saya tidak kenal mereka, sama ada mereka itu syarikat yang diberi hak membangunkan ladang hutan selepas tahun 2013 atau syarikat yang membeli projek itu daripada syarikat asal.

“Saya tidak tahu tujuan sebenar ia ditularkan semula. Saya telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan terbabit daripada semua agensi terbabit. Tindakan berikutnya akan dibuat berdasarkan laporan-laporan itu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Sanusi menegaskan, pembersihan tanah di situ juga telah mengakibatkan banjir lumpur di kawasan lembah, dua bulan kemudian serta menjejaskan sungai yang memanfaatkan 3,000 penduduk kampung.

Katanya, selepas mengambil alih sebagai Menteri Besar Mei tahun lalu, beliau telah mengarahkan kerja-kerja menanam durian di Gunung Inas dihentikan.

Julai lalu, laporan mengatakan Sanusi telah mengarahkan satu syarikat yang menanam durian di lokasi seluas 600 hektar berhampiran Gunung Inas supaya menanam tanaman penutup bumi dan pokok balak di situ, selepas kawasan Kupang di Baling mengalami banjir lumpur dibawa dari bukit berkenaan.

Pada Disember 2019, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Kedah Kedah ketika itu, Simon Ooi Tze Min mendedahkan pemilik lokasi itu telah memperoleh kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) pada 2013, termasuk daripada Jabatan Perhutanan.

Beliau memberi penjelasan itu susulan banjir yang melanda Kupang pada 2019. 

Ooi ketika itu berkata, pihak berkuasa akan menyiasat sama ada pembersihan lereng bukit menjadi punca banjir berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button