Berita Utama

Tindakan tegas jika benar perlekeh kerabat diraja

Pihaknya sedang siasat susulan 4 laporan polis diterima

JOHOR BAHRU, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik sebuah akaun Facebook jika benar individu itu memuat naik kenyataan memperlekeh kerabat diraja.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini pihaknya sedang menyiasat perkara itu susulan empat laporan polis yang diterima sebelum ini.

“Institusi diraja ini merupakan tiang seri kepada Perlembagaan dan Rukun Negara kita, jangan ada usaha untuk meruntuhkan dan mencemarkannya… itu pasti akan diambil tindakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini, sebagai mengulas laporan mengenai akaun Facebook ‘Faruq Sungib’ memuat naik kenyataan berbentuk provokasi berhubung kerabat ‘J’, dipercayai merujuk kepada kerabat diraja Johor.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata pemilik akaun media sosial berkenaan dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia 25 tahun dan menetap di Batu Pahat.

Kes disiasat menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button