Berita Utama

1750 mangsa banjir masih berada di PPS empat negeri

3 lagi PPS dibuka, jumlah penduduk terjejas meningkat di Terengganu

KUALA LUMPUR, 23 Jamadilawal 1444H, Ahad – Seramai 1,750 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri terjejas pagi ini.

Jumlah mangsa banjir teramai adalah di KELANTAN iaitu 1,584 daripada 490 keluarga, kekal seperti semalam dan menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kesemua yang terjejas kini ditempatkan di enam PPS di jajahan Pasir Mas. 

Sementara itu, laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ mendapati Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 24.6 meter (m).

Empat lagi sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (8.76 m), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.32 m), Sungai Pergau di Jambatan Jerimbong, Jeli (53.89 m) dan Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli (29.25 m).

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat kekal 75 orang daripada 21 keluarga dan ditempatkan di tiga PPS.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan seramai 34 orang ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 27 orang masih berada di Balai Raya Kampung Kuala Paya, manakala di Dewan Komuniti Kampung Tasek pula menempatkan 14 orang. 

Di TERENGGANU, jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 47 orang daripada 13 keluarga, dengan tiga lagi PPS dibuka iaitu dua di daerah Hulu Terengganu dan satu di Dungun.

Menurut JPBN, PPS tersebut ialah Balai Raya Kampung (Kg) Perih yang menempatkan 10 orang daripada dua keluarga dan Balai Raya Kg Cheting (10 orang daripada empat keluarga) di Hulu Terengganu, manakala satu PPS di Masjid Kg Jongok Batu di Dungun (empat orang sekeluarga).

PPS sedia ada di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu masih menempatkan 23 orang daripada enam keluarga, sama seperti malam tadi dengan keadaan cuaca juga dilaporkan hujan di beberapa kawasan.

Di PERAK, terdapat 44 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4 dan SK Sungai Tiang Darat, demikian menurut Sekretariat JPBN. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual melawat rumah mangsa banjir di sekitar Bagan Datuk dan juga yang ditempatkan di SK Sungai Tiang Darat pagi ini.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button