Berita Utama

Belang Dong Zong terserlah bila gesa KPM batal soal selidik Jawi

Yap Ah Loy hormati Jawi, jadi apa alasan Dong Zong tolak tulisan itu

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Tindakan pertubuhan radikal Cina, Dong Zong menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membatalkan kajian soal selidik berkaitan pembelajaran Jawi dalam buku teks Sekolah Kebangsaan Cina (SJKC) jelas menampakkan belang mereka.

Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, tindakan berkenaan juga menunjukkan pertubuhan berkenaan membenci sebarang unsur berbentuk kenegaraan.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendakwa, Dong Zong sengaja mencari apa-apa sahaja isu yang boleh menghasut masyarakat Cina di negara ini, semata-mata mahu menjadi juara palsu kepada mereka.

“Pemimpin Dong Zong bukan tidak tahu akan ketetapan dalam Akta Bahasa Kebangsaan bahawa Jawi ialah tulisan bahasa Melayu dan tidak boleh dihalang penggunaannya, termasuk pengembangannya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini

Sebelum ini, pertubuhan rasis itu meminta Majlis Pengelola Sekolah Cina, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan persatuan-persatuan yang membabitkan ibu bapa serta orang awam untuk terus teguh dengan pendirian menolak modul pembelajaran dan pengajaran Jawi.

Dong Zong mendakwa, modul pembelajaran Jawi KPM untuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) telah mencetuskan kontroversi yang hebat dan menerima tentangan yang meluas sebelum ini.

Dakwanya seperti dilapor Oriental Daily, hasil kajian soal selidik KPM tahun lepas telah membuktikan pelaksanaan pembelajaran modul Jawi KPM adalah suatu tindakan tidak popular, namun KPM enggan menerima kenyataan dan pandangan orang ramai, terus mahu membuat kajian soal selidik baharu bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Jawi.

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Awang Sariyan berkata, pertubuhan itu sebenarnya memecahbelahkan masyarakat majmuk apabila mengungkit perkara yang bukan menjadi isu.

Katanya, tulisan Jawi telah diterima oleh orang Cina dalam Sistem Kangcu di Johor dalam kes pengurniaan tanah oleh Raja Temenggung Daing Ibrahim kepada orang Cina untuk mengusahakan penanaman lada hitam dan gambir.

“Kapitan Yap Ah Loy pun dalam hubungannya dengan Ketua Polis Selangor pada abad ke-19 menggunakan perantaraan tulisan Jawi.

“Banyak tokoh masyarakat Cina termasuk pemimpin politik, ahli akademik, peniaga dan juga pembuat batu nisan yang pandai menulis dan membaca Jawi.

“Pelajar Cina yang bersih jiwanya seronok mempelajari Jawi sebagai seni sebagaimana anak-anak Melayu banyak yang menguasai tulisan dan khat Cina,” katanya.

Tambahnya, Dong Zong sepatutnya berterima kasih berikutan orang Mekayu telah berkorban menerima Rumi sebagai tulisan rasmi bahasa kebangsaan bagi memudahkan rakyat bukan Melayu menguasai bahasa berkenaan.

Katanya, pengenalan Jawi sebagai bahagian kecil dalam mata pelajaran bahasa Melayu tidak patut dijadikan isu.

“Sebaliknya Dong Zong patut menjadi pertubuhan yang matang dan memimpin sikap dan fikiran masyarakat Cina supaya menjadi warganegara yang menghargai nikmat berada di negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button