Berita Utama

Buku memoir Tommy Thomas berniat jahat!

Penuh penyelewengan sejarah, manupulasi fakta, berunsur hasutan

BANGI, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didakwa menyeleweng sejarah, manipulasi fakta serta mengandungi unsur-unsur hasutan.

Perkara itu hasil daripada penelitian yang dilakukan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) terhadap buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mendakwa, buku berkenaan juga mengandungi naratif palsu dan penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya agar ia tidak tersebar luas dalam kalangan masyarakat.

“Ini adalah suatu perlakuan yang sangat serius dan pastinya akan menggalakkan lagi kebiadapan sebegini dalam kalangan orang awam terhadap instutusi Raja-Raja Melayu.

“Tulisan-tulisan di dalam buku tersebut jelas menghina dan memberikan gambaran yang salah terhadap penjawat awam, sistem perundangan negara dan masyarakat Melayu melalui pelbagai naratif palsu dan melampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Aminuddin mendakwa, cerita berkenaan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim juga satu penipuan kerana gagal menghormati keputusan inkues dan Mahkamah Koroner yang mengatakan mangsa tidak dilanggar.

Ekoran itu, beliau menuntut Tommy serta penerbit buku tersebut melakukan permohonan maaf atas perbuatan mereka.

“Ini adalah suatu tindakan yang tidak berintegriti lebih-lebih lagi kedudukan beliau sebagai mantan Peguam Negara.

“PEMBELA mendesak agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Tommy Thomas dan juga penerbit buku tersebut.

“Selain, menuntut keduanya meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan suatu permohonan maaf khusus kepada keluarga Allahyarham Adib,” katanya lagi.

Pada masa sama, PEMBELA menyarankan agar kesemua pihak yang terkait mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya terhadap Tommy.

Ini kerana, dakwanya, Tommy bukan sahaja menghina mahkamah malah bersifat subjudis, dan saman fitnah harus dipertimbangkan atas tulisan yang didapati menfitnah pelbagai pihak.

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button