Berita Utama

Cuba sogok polis RM200 untuk dapat permit rentas negeri

Warga asing ditahan, diserahkan kepada SPRM untuk tindakan

KUANTAN, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Seorang buruh binaan warga asing ditahan selepas didakwa cuba memberi rasuah RM200 kepada anggota polis bagi mendapatkan permit merentas negeri di Balai Polis Bukit Tinggi, Bentong kira-kira 207 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata suspek lelaki berumur 28 tahun itu didakwa datang ke balai tersebut sekitar 9.40 pagi bagi memohon permit perjalanan dari Bentong ke Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun permohonan itu ditolak difahamkan kerana alasan ingin bertemu rakan yang diberikan suspek bukanlah satu urusan penting untuk membolehkan dia diberikan kelulusan.

“Suspek dikatakan telah mengeluarkan dua keping wang tunai RM100 untuk diberikan kepada ketua balai dan tiga anggota yang bertugas selepas dimaklumkan permohonan itu ditolak,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Zaiham berkata suspek ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Raub bagi tindakan selanjutnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button