Berita Utama

Kerjasama UMNO, PAS, Bersatu rapuh: Tun M

Hubungan bersandarkan politik, PAS pernah kafirkan UMNO

BANGI, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, hubungan di antara UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah rapuh.

Beliau turut mendakwa, hubungan di antara tiga parti berkenaan bakal terurai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, beliau juga yakin kerjasama PAS dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan bertahan berdasarkan sejarah hubungan mereka.

“Sebenarnya mereka (PAS-UMNO) tidak pernah rapat. PAS telah mengutuk UMNO sebagai kafir.

“Jadi bagaimana mereka boleh bekerjasama apabila PAS berkata orang yang bekerjasama dengan kafir akan sendiri menjadi kafir,” katanya dalam wawancara khas bersama portal FMT.

Dr Mahathir mendakwa, UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama atas dasar kepentingan politik dan bukan berpandukan prinsip.

“Jadi hubungan seperti ini tidak boleh menjadi asas kepada kerjasama yang baik, ia hanya hubungan yang berasaskan kesenangan politik,” katanya lagi.

Beliau mendakwa, Bersatu tidak pernah rapat dengan PAS, sekali gus merumuskan hubungan antara tiga parti Melayu itu hanya didirikan atas kesenangan politik, bukan demi kepentingan negara.

“Keadaan ini tidak membawa kebaikan kepada negara kerana mereka tidak mempunyai pandangan sama yang betul mengenai cara membangun dan menguruskan negara,” dakwanya.

Beliau menjangka perbalahan akan tercetus antara tiga parti itu dalam menghadapi PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button