Berita Utama

Mobiliti maya kaedah pembelajaran terbaik berbanding konvensional?

Kaedah diakui lebih selesa serta menjimatkan jika libat rentas sempadan

BANGI, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Pandemik COVID-19 menyebabkan universiti terbatas melakukan program mobiliti antarabangsa, kata Prof Madya Dr Khairunesa Isa.

Pensyarah di Jabaran Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) itu berkata, aspek penjarakan fizikal ditekankan dalam norma baharu menyebabkan pelaksanaan program mobiliti konvensional perlu diubah kepada pelaksanaan secara maya.

Memberi contoh di Eropah, beliau berkata, pelaksanaan program mobiliti maya yang banyak dilaksanakan di negara itu sejak 2010 menjadi alternatif kepada mobiliti konvensional dilaksanakan secara bersemuka.

“Ia kaedah pembelajaran dikendalikan manusia dengan menggunakan komputer dengan media sosial sebagai perantara.

“Persekitaran pembelajaran disokong teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini membolehkan kerjasama rentas sempadan dengan kepelbagaian latar dapat dilaksanakan.

“Kebanyakan negara terbabit dalam program ini mengakui ia kaedah terbaik, selesa dan menjimatkan,” jelasnya dalam tulisan di Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Prod Khairunesa berkata, wabak COVID-19 juga boleh dianggap sebagai landasan bagi meningkatkan kemahiran dan kadar celik pensyarah, pelajar mahupun komuniti terhadap penguasaan kemahiran teknologi serta ICT sesuai dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Beliau berkata, jika sebelum ini pelajar bersama komuniti membaiki paip air rosak atau membuat sistem solar bagi keperluan penduduk, pelaksanaan secara maya pula menyebabkan pelajar lebih kreatif memikirkan kaedah penyelesaian praktikal agar masalah dapat diselesaikan.

Tambahnya, situasi ini menunjukkan keadaan pelajar dan pensyarah memikirkan penyelesaian secara teori, manakala praktiknya dilakukan sepenuhnya oleh komuniti.

“Secara tidak langsung aspek pendayaupayaan komuniti dapat diterapkan dalam melahirkan komuniti berdaya tahan melalui pemindahan pengetahuan.

“Berhadapan era IR4.0, ia memungkinkan program mobiliti secara maya diteruskan dalam jangka panjang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button