Berita UtamaDunia

Palsu! Arab Saudi tolak penilaian perisik AS berhubung kes Khashoggi

Laporan diterbitkan didakwa berisi informasi, kesimpulan tak tepat

RIYADH, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Arab Saudi menolak sepenuhnya penilaian negatif, palsu dan tidak dapat diterima dalam laporan perisikan Amerika Syarikat (AS) yang mendapati Putera Mahkota Mohammed bin Salman menyetujui pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Dalam laporan berkenaan, perisik AS menyimpulkan bahawa Putera Mahkota ‘meluluskan operasi untuk menangkap atau membunuh’ Kolumnis Washington Post itu.

“Pemerintah kerajaan Arab Saudi sepenuhnya menolak …. penilaian dalam laporan yang berkaitan dengan kepemimpinan kerajaan, dan mendapati bahawa laporan tersebut berisi informasi dan kesimpulan yang tidak tepat.

“Jenayah itu dilakukan oleh sekelompok individu yang telah melanggar semua peraturan berkaitan … dan kepemimpinan kerajaan mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan tragedi seperti itu tidak akan berulang lagi,” kata Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan.

Tahun lalu, Mahkamah Arab Saudi memenjarakan lapan individu antara tujuh hingga 20 tahun atas pembunuhan Khashoggi, selepas keluarganya memaafkan pembunuh terbabit dan membolehkan hukuman mati diketepikan.

Khashoggi, pengkritik Putera Mohammed, kali terakhir dilihat di konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018 – di mana beliau pergi untuk mendapatkan dokumen perkahwinan bersama tunangnya, Hatice Cengiz.

Mayat lelaki berusia 59 tahun itu dilaporkan dikerat serta dikeluarkan daripada bangunan dan mayatnya belum ditemui.

Pembunuhan itu menggemparkan dunia dan mencemarkan imej reformis Putera Mohammed serta menegangkan hubungan antara AS dan sekutu Arab terdekatnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button