Berita UtamaIstimewa

Tak adil! Penyokong Daesh dihukum, LTTE pula dilepas

Sokongan kepada LTTE jauh lebih serius kerana libatkan ucapan

BANGI, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berpandangan bahawa berlaku ketidakadilan di antara dua kes berasingan melibatkan pendakwaan ke atas penyokong kumpulan pengganas Daesh dan penyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau merujuk kepada kes seorang penjual cendol yang dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi, semalam, selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan berkait dengan sokongan terhadap Daesh, empat tahun lalu.

Berbeza dengan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dan ADUN Gadek, G Saminathan yang dilepas serta dibebaskan mahkamah atas pertuduhan berkaitan kumpulan LTTE, pada tahun lalu.

“Pada 29 Oktober 2019, YB Saminathan pun didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dan didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

“Manakala, YB Gunasekaren pula didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

“Begitupun, hasil daripada arahan untuk tidak meneruskan prosiding yang dikeluarkan oleh Peguam Negara waktu itu, Tan Sri Tommy Thomas, YB Gunasekaren pun dilepas dan dibebaskan pada 24 Februari 2020 manakala YB Saminathan pula dilepas dan dibebaskan pada 25 Februari 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Walhal, Kamarul berkata, kedua-dua kes adalah sama iaitu melibatkan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas atau pemilikan item berkaitan kumpulan pengganas, satu kepada Daesh dan satu lagi kepada LTTE.

Malah, tegasnya, pemberian sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE boleh dianggap sebagai jauh lebih serius.

Ini kerana, dakwanya, ia turut melibatkan ucapan dan bukan sekadar pengedaran item sahaja seperti di dalam pemberian sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh.

“Malangnya mengapa Nahzatulazran dijatuhkan hukuman penjara tetapi YB Gunasekaren dan YB Saminathan dilepas dan dibebaskan begitu sahaja?

“Apakah yang menyebabkan layanan berbeza boleh diberikan kepada Nahzatulazran berbanding layanan kepada YB Gunasekaren dan YB Saminathan? Di manakah keadilan?,” soalnya.

Sebelum ini, bekas Peguam Negara memutuskan untuk menghentikan prosiding terhadap 12 tertuduh yang menghadapi 34 pertuduhan berhubung menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Tommy dalam kenyataannya berkata, tindakan itu diputuskan selepas tiada prospek jelas untuk sabitan ke atas pertuduhan terbabit.

“Dalam menjalankan kuasa budi bicara saya, menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan saya memutuskan untuk memberhentikan prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button