Dunia

Thailand laksana strategi khas kawal COVID-19 di kilang

'Strategi tutup dan gelembung diharap dapat kawal jangkitan dalam 28 hari'

BANGKOK, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Thailand melaksanakan strategi khas bagi mengekang penyebaran virus COVID-19 di kilang-kilang di Samut Sakhon, pusat penularan terkini pandemik itu negara berkenaan.

Timbalan jurucakap Kementerian Luarnya Natapanu Nopakun berkata bagi kilang-kilang yang menyediakan tempat tinggal kepada pekerja, kaedah “menutup kawasan” akan digunakan dan pekerja tidak dibenarkan meninggalkan kawasan kilang

Bagi pekerja yang tinggal di asrama di luar perkarangan kilang pula, beliau berkata “kaedah gelembung” akan digunakan dengan pegawai akan mengatur perjalanan dan pergerakan pekerja, dari asrama ke tempat kerja mereka, untuk menghalang mereka daripada bergerak ke lokasi lain.

“Strategi ‘tutup dan gelembung’ ini diharapkan dapat membantu mengawal jangkitan tempatan dalam 28 hari,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Selain itu, Natapanu berkata pegawai Kesihatan Awam akan meningkatkan pengesanan kes aktif di Samut Sakhon.

Beliau berkata setakat ini, terdapat lebih 140,000 pekerja di 845 kilang di Samut Sakhon telah menjalani ujian COVID-19.

Samut Sakhon, wilayah selatan Bangkok menjadi pusat penularan semasa pandemik itu yang bermula pada pertengahan Disember dengan mencatatkan 18,897 kes dan 19 kematian.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand merekodkan 490 kes baharu COVID-19, tanpa sebarang kematian, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu kepada 23,134 dengan 79 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata daripada 490 kes baharu itu, 412 kes dikesan melalui pengesanan kes aktif dengan 410 di Samut Sakhon manakala masing-masing satu kes di Samut Songkhram dan Samut Prakan.

Beliau berkata 67 kes baharu merupakan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan 11 lagi kes import, termasuk satu yang masuk secara haram.

“Selepas gelombang baharu COVID-19 di Thailand sejak pertengahan Disember tahun lepas, 14 wilayah masih bebas daripada COVID-19 manakala 47 wilayah tidak melaporkan kes baharu sekurang-kurangnya tujuh hari,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button