Berita Utama

20 individu termasuk 16 warga emas ditahan berjudi, langgar PKP

Polis rampas peralatan berjudi, wang tunai RM1,350

GEORGE TOWN, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Polis menahan 20 individu termasuk 16 warga emas yang sedang leka bermain judi di sebuah rumah sewa yang dijadikan markas untuk mereka berjudi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Air Itam, di sini awal pagi tadi.

Seramai 15 lelaki dan lima wanita ditahan dalam serbuan pada jam 1.00 pagi oleh polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) dengan kerjasama Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang itu.

Menurut sumber, serbuan dibuat hasil risikan serta intipan sejak seminggu lepas, dan ketika serbuan empat daripada mereka yang terdiri tiga lelaki dan seorang wanita sedang bermain judi jenis daun terup.

“Yang lain sedang leka bermain mahjong, dan susulan pemeriksaan lanjut di rumah itu, polis merampas peralatan untuk berjudi seperti daun terup dan mahjong serta wang tunai di atas meja sebanyak RM1,350,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra’ais ketika dihubungi mengesahkan penahanan 20 individu berumur antara 50 dan 70 tahun itu, kerana terlibat dengan aktiviti perjudian di rumah sewa berkenaan.

Katanya, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, dan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button