Berita Utama

Cadangan turunkan graf markah SPM, SVM tak relevan: iGuru

Piawaian LKM sudah tepat, tak wajar jadikan COVID-19 sebagai alasan

BANGI, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Cadangan supaya Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020 dianggap tidak relevan.

Ini kerana, Malaysia mempunyai standard sistem dan kaedah peperiksaan di mana gred ditentukan mengikut piawaian tertentu ditetapkan oleh LKM bagi menentukan siapa yang menerima markah atau gred A+, A atau A- dan seterusnya itu bergantung kepada graf tertentu.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, sebagai contoh jika satu subjek itu ramai pelajar memperoleh markah atas 80, maka kemungkinan untuk mendapat A+ mestilah dengan mendapat 90 markah ke atas.

“Sebab itu standard yang ditetapkan oleh LPM sudah tepat, tekal dan absah. Tugas guru ialah memastikan pelajar berusaha sehingga ke saat-saat akhir dan membuat persediaan yang secukupnya.

“Faktor COVID-19 tidak boleh dijadikan alasan kerana kita telah melalui pengalaman menghadapi bencana seperti banjir, dan sebagainya.

“Lagipun sistem pengajaran semasa boleh berjalan secara dalam talian atau luar talian mengikut kaedah yang sesuai dengan pelajar,” katanya seperti dipetik PN BBC Portal, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengesyorkan supaya LPM dan KPM mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi kedua-dua peperiksaan awam itu.

Cadangan itu susulan keputusan Kementerian Pendidikan menamatkan pembelajaran secara bersemuka bagi calon SPM dan SVM 2020 yang dilaksanakan sejak 14 hari lalu lebih awal sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, buat masa ini kementerian tidak akan mengeluarkan kenyataan sehingga pertimbangan mengenai perkara itu dibuat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button