Berita Utama

Guna peluang darurat buat ordinan RUU 355, pisahkan kuasa AG-Pendakwa Raya

Tak perlu persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat: Zainul Rijal

BANGI, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Tempoh darurat adalah peluang untuk negara membuat ordinan yang perlu, sementara keadaan birokrasi dan keperluan undang-undang digantung sementara.

Justeru, peluang itu perlu diambil bagi meluruskan semua urusan negara supaya selepas darurat kelak, segala kesulitan dapat dipulihkan, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, ini termasuk usaha memisahkan kuasa Peguam Negara daripada Pendakwa Raya yang memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Namun, usaha itu kini boleh dilakukan dengan ordinan yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat untuk memutuskannya, kata Zainul Rijal.

“Memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya sangat penting khususnya bagi menzahirkan kebebasan pendakwa raya dan mengelak salah guna kuasa.

“Ketika kedua-dua pihak tidak mempunyai majoriti kuku, apatah lagi dua pertiga sangat sukar untuk kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, cubaan pernah dibuat pada 2019 untuk meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan tetapi nyata kerajaan ketika itu gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Maka, Rang Undang-Undang meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan berkenaan tidak berjaya, katanya.

“Begitu juga undang-undang biasa lain yang menghadapi pelbagai rintangan untuk diluluskan.

“Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355 (Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah) umpamanya, sehingga kini tidak diteruskan kerana reaksi ahli Parlimen yang pelbagai,” katanya menulis di Sinar Harian, hari ini. 

Ekoran itu, Zainul Rijal berkata, RUU itu terpaksa dibawa melalui Rang Undang-Undang Ahli Parlimen Persendirian, bukan daripada kerajaan, namun masih belum berjaya dan hanya tercatat dalam sejarah semata-mata.

“Kemelut seperti itu dapat diatasi dengan mengadakan ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ambillah peluang dalam keadaan birokrasi dan keperluan undang-undang digantung sementara untuk meluruskan semua urusan negara supaya selepas darurat kelak, segala kesulitan itu dapat dipulihkan,” katanya.

Bagaimanapun selepas darurat, terpulanglah kepada Parlimen untuk mengesah dan mengguna pakai mana-mana ordinan yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai undang-undang yang sah, kata Zainul Rijal. 

“Perkara 150 (2C) Perlembagaan Persekutuan menyatakan sesuatu ordinan yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen.

“…dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau dirungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button