Berita Utama

Polis terima 134 laporan berkaitan buku Tommy Thomas

Buka 3 kertas siasatan, antaranya didakwa fitnah pelbagai pihak

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Polis telah membuka tiga kertas siasatan berkaitan kandungan buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang antaranya didakwa memfitnah dan menghina pelbagai pihak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat hari ini, polis telah menerima 134 laporan di seluruh negara berhubung perkara itu.

Beliau berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman dan akan dilakukan secara terperinci sebelum mana-mana pihak dipanggil untuk dirakam keterangan termasuk Thomas.

“Satu daripada kertas siasatan yang dibuka adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Kertas siasatan ketiga dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Antara individu yang membuat laporan polis terhadap Thomas ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Peguam Cara III Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button