Berita Utama

Palsu sijil vaksin laksana umrah dikhuatiri undang murka Allah SWT

‘Apatah lagi libatkan keselamatan pihak lain terutamanya golongan berisiko’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Tindakan pemalsuan sijil vaksinasi yang dilakukan oleh segelintir jemaah tidak bertanggungjawab tak membatalkan ibadah umrah, tetapi dikhuatiri boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Syamil Esa menegaskan, persoalan ibadah umrah dan vaksinasi adalah dua perkara yang berbeza, di mana sah atau batalnya umrah itu tidak berkaitan dengan persoalan lain, termasuklah mempunyai sijil vaksinasi atau tidak. 

Namun, beliau berkata, sekiranya persoalan luarannya berkait rapat dengan kesalahan lain seperti mencuri, menipu dan seumpamanya, elemen keberkatan dan pahala serta penerimaan ibadah di sisi Allah SWT itu dikhuatiri akan tercalar dan terkesan. 

“Ini kerana hakikatnya kita menunaikan ibadah umrah untuk mencari keredhaan Allah.

“Bagaimanakah pula Allah SWT akan redha sekiranya kita beribadah tetapi dalam masa yang sama melaksanakan kesalahan-kesalahan lain, yang boleh mengundang kemurkaan-Nya? 

“Apatah lagi sekiranya ia boleh melibatkan keselamatan pihak lain terutamanya golongan berisiko,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan terdapat jemaah umrah yang dijangkiti varian Omicron tidak menerima sebarang suntikan vaksin dan dibenarkan pergi mengerjakan ibadah itu.

Ustaz Syamil menegaskan, pemalsuan sijil vaksinasi boleh dikategorikan sebagai penipuan terhadap pihak autoriti yang bertanggungjawab mengurus keluar masuk negara. 

Katanya, ia kerana semua polisi yang dilakukan termasuk syarat vaksin adalah bertitik tolak daripada polisi keselamatan yang melibatkan seluruh pihak, bukan pihak-pihak tertentu sahaja. 

“Mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksin perlu bertaubat dan diambil tindakan sewajarnya. 

“Namun sekiranya ia terbabit dalam melibatkan kemudaratan kepada pihak lain, ia boleh didakwa dan dikenakan hukuman atau ganti rugi kepada pihak yang terlibat. Wallahua’lam bissawab,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button