Berita Utama

Projek tanaman durian Gunung Inas diarah henti Julai 2020

Tanah yang sudah digondol diarah supaya ditanam tanaman tutup bumi

ALOR SETAR, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Projek ladang durian di Gunung Inas, Baling sudah diarah dihentikan pada Julai tahun lepas, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, justeru pihaknya telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan itu, daripada semua agensi terlibat, bagi menyiasat dakwaan bahawa wujud ladang durian terbesar di kawasan berkenaan seperti yang tular dalam video, sejak semalam.

“Pada Julai tahun lalu (2020), sebulan selepas mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), sempena Mesyuarat Exco Kerajaan negeri yang diadakan di Baling, saya mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan.

“Dasar kami jelas, peraturan mesti dipatuhi, pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi dan kepentingan rakyat mesti didahulukan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam video yang tular itu, seorang lelaki mendakwa sekurang-kurangnya 12,140 hektar tanah bukit di Gunung Inas sedang dibangunkan sebagai ladang durian, yang kononnya terbesar di dunia.

Menurut Muhammad Sanusi, projek ladang hutan mesti ditanam spesies yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan dan durian tidak termasuk spesies itu.

“Walau bagaimanapun, Jabatan Perhutanan membenarkan 20 peratus keluasan yang diluluskan, ditanam dengan spesies buah-buahan dan pada masa itu (Julai 2020), dilaporkan 2,000 ekar sudah pun ditanam durian Musang King.

“Arahan kerajaan jelas iaitu hentikan tanaman durian Musang King, kembali kepada tanaman yang dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, tanah yang sudah digondol juga diarahkan supaya ditanam tanaman tutup bumi dengan segera untuk mengelak hakisan.

Berhubung video yang tular itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya difahamkan bahawa ia adalah rakaman lama, iaitu sebelum arahan berhenti kerja dibuat.

“Saya tidak kenal mereka dan saya tidak tahu tujuan sebenar ia ditularkan semula,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button