Berita Utama

Rampasan kuasa: ASEAN berhati-hati atas dasar tak campur tangan?

Apakah penguatkuasaan Piagam ASEAN 2008 boleh dipakai dalam krisis ini?

BANGI, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Negara anggota ASEAN kelihatan memberi reaksi berhati-hati berhubung isu rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar.

Tindakan itu mungkin disebabkan oleh dasar tidak campur tangan yang didukung ASEAN sendiri, kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis.

Beliau berpendapat, peringatan bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar pada Sidang Kemuncak ASEAN di Laos pada 2004, mungkin masih relevan dengan konteks Myanmar pada masa kini.

“Beliau (Syed Hamid) ketika itu mempersoalkan komitmen pemerintah Junta Myanmar terhadap pendemokrasiannya yang mengecewakan dan dilihat skeptikal oleh masyarakat antarabangsa.

“Beliau juga menggesa agar Myanmar segera menyelesaikannya kerana permasalahan itu bukan sahaja akan menjejaskan Myanmar tetapi kredibiliti dan integriti ASEAN secara keseluruhan,” katanya menulis di Sinar Harian.

Myanmar kini ditadbir tentera sejak Isnin lalu selepas tentera menahan Aung San Suu Kyi dan pemimpin awam lain dalam rangkaian serangan subuh, mengakhiri percubaan singkat negara itu mentadbir secara demokrasi.

Suu Kyi – yang belum dilihat di khalayak awam – menang besar dengan parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang dipimpinnya pada November lalu, namun tentera menyatakan pilihan raya itu palsu.

Tentera dan kereta perisai memenuhi jalan di bandar besar, bagaimanapun pengambilalihan itu tidak mendapat sokongan berikutan protes jalanan besar-besaran.

Dalam perkembangan sama, Mujibu membangkitkan persoalan sama ada penguatkuasaan Piagam ASEAN 2008 boleh dipakai dalam krisis kali ini.

“Dengan dua pendekatan yang berbeza telah diambil ASEAN dalam kes Myanmar (pendekatan konstruktif ‘Cara ASEAN’ ) tahun 1991 dan pendekatan fleksible tahun 1998 yang gagal menyelesaikan permasalah politik Myanmar, apakah penguatkuasaan Piagam ASEAN 2008 boleh dipakai dalam permasalahan kali ini?

“Ataupun ketakutan ASEAN terhadap tindakan luar jangka Myanmar yang mungkin membahayakan keselamatan serantau, lantas sanggup untuk mengesampingkan Piagam ASEAN yang sepatutnya memberikan ASEAN taring untuk menggertak Myanmar,” soalnya.

Sejak berlaku rampasan kuasa tentera dan penahanan Suu Kyi, Myanmar menerima kecaman antarabangsa yang menyifatkan demokrasi di negara itu semakin buruk.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button