Dunia

Rampasan kuasa: Rohingya di Bangladesh enggan pulang ke Myanmar

Sebahagian besar pelarian berubah hati, nekad tidak mahu pulang

DHAKA, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad — Perjanjian untuk menghantar pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar – yang dijadualkan Jun – berkemungkinan terjejas susulan rampasan kuasa tentera, minggu lalu.

Kira-kira 740,000 Rohingya lari ke Bangladesh pada Ogos 2017, menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera di Myanmar yang disamakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik.

Perjanjian penghantaran pulang diputuskan bulan lalu menerusi rundingan tiga pihak – China sebagai perantara.

Menerusi program itu, pelarian Rohingya perlu mengisi dan menandatangani borang bahawa mereka dengan rela hati mahu dihantar pulang serta akan mematuhi undang-undang sedia ada di Myanmar.

Namun, berikutan rampasan kuasa oleh tentera Myanmar itu, sebahagian besar pelarian kini berubah hati dan nekad tidak mahu pulang.

Sebelum ini, pada November 2018 cubaan untuk menghantar pulang 2,260 Rohingya tidak berjaya kerana mereka enggan pulang tanpa jaminan keselamatan.

Bangladesh, bagaimanapun berharap Tatmadaw tidak menghentikan usaha itu meskipun berlaku rampasan kuasa.

Sementara, di Myanamar, kira-kira 600,000 etnik Rohingya dilaporkan masih berada di negara itu.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, mereka tidak bebas bergerak dan memiliki akses terhad terhadap keperluan kesihatan asas dan pendidikan.

“Kebimbangan kami adalah perkembangan ini (rampasan kuasa) akan memburukkan keadaan buat mereka,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button