Dunia

Tentera Myanmar arah tutup perkhidmatan internet

Protes di tiga wilayah, penunjuk perasaan tentang rampasan kuasa

YANGON, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Pentadbiran tentera Myanmar menutup perkhidmatan internet di seluruh negara di tengah-tengah tunjuk perasaan anti-kudeta.

Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Myanmar (MoTC) mengarahkan semua pengendali telekomunikasi menutup sementara rangkaian data di Myanmar. 

Bagaimanapun, perkhidmatan suara dan SMS masih dibuka.  

Syarikat telekomunikasi Norway Telenor yang mengendalikan rangkaian mudah alih kedua terbesar di negara itu mengesahkan perkara berkenaan. 

Dalam perintah itu, MoTC menyatakan dasar dalam Undang-Undang Telekomunikasi Myanmar yang merujuk penyebaran berita palsu, kestabilan negara dan kepentingan masyarakat.

Langkah itu dibuat setelah pihak berkuasa menyekat platform media sosial, termasuk Facebook, Twitter dan Instagram berikutan rampasan kuasa tentera terhadap pemerintah yang dipilih, Aung San Suu Kyi sebagai penasihat negara sejak 2016. 

Sementara itu, Kumpulan Telecom mengambil maklum perintah itu dan menegaskan kepada pihak berkuasa bahawa akses perkhidmatan telekomunikasi perlu dilindungi terutama sewaktu konflik bagi memastikan hak kebebasan bersuara individu dan akses maklumat terjamin. 

“Kami amat menyesali kesan penutupan kepada masyarakat di Myanmar,” katanya dalam kenyataan, semalam. 

Menurut kumpulan Monash IT Observatory yang berpusat di Australia, penurunan ketara dalam sambungan internet dilihat di beberapa bandar termasuk Yangon, Mandalay, Kachin, Magway, Bago, Kayah dan Mon sejak 7 pagi waktu tempatan. 

“Protes tercetus di tiga wilayah berasingan di Yangon, di mana polis menghalang tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pekerja industri,” lapor Agensi Anadolu. 

Demonstrasi terbesar diadakan di Universiti Yangon di mana ribuan penunjuk perasaan berkumpul menentang rampasan kuasa. 

Perhimpunan besar-besaran itu diadakan beberapa hari setelah Suu Kyi mendesak orang ramai untuk tidak menerima kudeta dan membuat penentangan secara menyeluruh. 

Suu Kyi dan pemimpin awam lain ditahan oleh tentera sebelum Parlimen bermula 1 Februari lalu, selepas pilihan raya umum pada November yang menyaksikan partinya, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), menang besar.

Suu Kyi, walaupun dianggap terkenal di Myanmar, imejnya di peringkat antarabangsa tercalar ekoran tindakan kerasnya terhadap minoriti Rohingya pada 2017. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button