Berita Utama

24 kematian akibat COVID-19, tertinggi setakat ini

13 kluster baharu dengan 11 daripadanya berkait tempat kerja

KUALA LUMPUR, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Negara merekodkan 24 kematian harian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, angka tertinggi setakat ini, menjadikan jumlah terkumpul kematian kerana jangkitan itu sebanyak 896 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasmi beliau hari ini berkata, 21 kematian adalah warganegara.

Beliau berkata, angka kumulatif kes COVID-19 di negara ini pula kini berjumlah 245,552 kes, selepas 3,100 kes harian baharu dilaporkan dengan 3,099 daripadanya merupakan jangkitan tempatan.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah sebanyak 51,977 kes, manakala kes yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) pula seramai 282 orang dengan 134 memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi iaitu 1,196 diikuti Johor (490 kes) dan Melaka (344 kes).

Sementara itu dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 29 kes dilaporkan berkait kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara, merangkumi DTI Sepang 2 dengan sembilan kes, Penjara Kepayan (6), Tembok Renggam (4), Tembok Sungai Udang (3), Penjara Seberang Perai (3), Penjara Jalan Harapan (2), Tembok Pengkalan Chepa (1) dan Tembok Bukit Besi (1).

Mengenai kes kematian baharu, beliau berkata, Selangor mencatatkan tujuh kes, masing-masing tiga kes di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur, masing-masing dua kes di Perak dan Johor serta satu kes di Kelantan, Melaka, Kedah dan Pulau Pinang, dengan lingkungan umur mangsa dari 44 hingga 98 tahun.

Menurutnya, 2,340 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih kini 192,679 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, 13 kluster baharu dikenal pasti dengan 11 daripadanya berkait tempat kerja, serta masing-masing satu bagi kluster komuniti iaitu Sebangkoi di Sarawak dan kumpulan berisiko tinggi, Taman Bukit Petaling (Negeri Sembilan).

Kluster tempat kerja di Selangor melibatkan Jalan Teknologi, Jalan Sungai Rasa, Tapak Bina Persiaran Mokhtar dan Persiaran Hulu; Sri Menanti, Jalan Harmonium, Jalan Cyber Lima dan Laman Desaru (Johor); Lengkok Pantai (Kuala Lumpur), Kampung Tandak (Terengganu) serta Batu 38 (Sabah).

“Jumlah kluster aktif kini 451 kluster dengan 79 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu pada hari ini. Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pula Kluster Industri Serkam (329 kes), Kluster Tanjung Suria (218 kes), dan Kluster Sungai Putus (166 kes),” katanya.

Beliau berkata setakat ini, 457 kluster telah tamat termasuk tiga yang diisytiharkan tamat hari ini, iaitu Kluster Kolam Permai, Kluster Timbang Dayang dan Kluster Pompod. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button