Berita Utama

772,900 menganggur setakat Disember 2020

Keadaan pasaran buruh masih dipengaruhi krisis kesihatan, ekonomi

PUTRAJAYA, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993 yang merekodkan 4.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengangguran meningkat kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus pada Disember 2020.

Manakala bilangan penduduk bekerja meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan atau bersamaan dengan 19,300 orang kepada 15.22 juta orang selepas mencatatkan penurunan marginal pada bulan sebelumnya.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Disember dan Suku Tahun Keempat 2020 yang dikeluarkan pada Isnin.

Beliau berkata, dari segi penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.6 peratus daripada jumlah guna tenaga, meningkat sebanyak 0.2 peratus atau 23,500 orang kepada 11.81 juta orang berbanding dengan angka pada bulan sebelumnya.

Sementara itu, kategori bekerja sendiri yang merangkumi 15.8 peratus penduduk bekerja, terus mencatatkan pengurangan bagi bulan ketiga sebanyak 0.6 peratus kepada 2.40 juta orang pada Disember 2020, katanya.

Beliau berkata, kumpulan ini terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam, gerai makanan, pekerja sambilan serta pekebun kecil.

Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat kepada 146,200 orang berbanding dengan angka pada November 2020 iaitu 142,000 orang disebabkan pelaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang bulan tersebut selain cuti persekolahan dan cuti perayaan yang singkat.

“Kumpulan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan pasaran buruh pada Disember 2020 yang masih dipengaruhi oleh krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahan momentum pemulihan pasaran buruh.

Oleh itu, pasaran buruh pada bulan itu kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai 27,800 orang kepada 15.99 juta orang daripada 15.96 juta pada November 2020, katanya.

Beliau berkata, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada bulan itu adalah 68.4 peratus.

“Di samping itu, jumlah penduduk di luar tenaga buruh mencatatkan penurunan sebanyak 2,600 orang berbanding dengan angka pada November 2020 kepada 7.37 juta orang dengan komposisi terbesar adalah disebabkan bersekolah/latihan,” katanya.

Ketua Perangkawan itu juga menjelaskan mengenai kedudukan penawaran buruh pada suku keempat 2020 dengan berkata, keadaan pasaran buruh bertambah baik secara beransur-ansur dengan tenaga buruh dan guna tenaga terus meningkat berbanding suku sebelumnya, masing-masing mencatatkan 15.92 juta orang dan 15.16 juta orang.

“Pada suku keempat 2020, terdapat 533,700 orang yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu kerana keadaan kerja atau kerja yang tidak mencukupi berbanding dengan 403,800 orang pada suku ketiga 2020,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah ini, 369,100 orang dikategorikan di bawah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa disebabkan mereka bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup untuk menerima tambahan jam bekerja (suku ketiga 2020: 300,800 orang).

“Golongan ini merangkumi 2.4 peratus daripada jumlah guna tenaga pada suku keempat 2020,” katanya.

Mohd Uzir berkata selain itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang terdiri daripada mereka yang berpendidikan tertiari, namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah merangkumi 1.89 juta orang atau 37.4 peratus daripada jumlah penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari (suku ketiga 2020: 1.76 juta orang; 36.8 peratus).

Beliau berkata, bagi merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh sepanjang 2020 berdasarkan data purata suku tahunan, KPTB pada 2020 turun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus (2019: 68.7 peratus.

Dalam tempoh yang sama, bilangan penduduk bekerja susut 0.2 peratus kepada 15.1 juta orang dengan penurunan kecil ini disebabkan oleh ketidaktentuan dalam pasaran buruh susulan krisis kesihatan dan ekonomi pada 2020, katanya.

Beliau berkata, berikutan negara mengalami permintaan buruh yang lebih perlahan pada 2020 disebabkan impak negatif pandemik COVID-19 maka bilangan penganggur mencatatkan pertambahan melebihi 200,000 orang.

“Krisis kesihatan telah memberi impak yang besar kepada tenaga buruh dan menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih 4.0 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh prakrisis,” katanya. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button