Berita Utama

Bermotif politik? SOP Tahun Baharu Cina tak adil?

'Bagilah apa pun kepada ultra kiasu, jangan harap undi akan berbalik kepada PN'

BANGI, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Seperti dijangka, kerajaan menarik balik prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina sedia ada dan digantikan dengan penambaikan baharu setelah mendapat protes agresif daripada ultra kiasu.

Walhal umum mengetahui semua SOP bagi perayaan bukan Islam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dibuat hasil perbincangan dengan pelbagai pihak.

Bahkan, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, dalam isu ini Kementerian Perpaduan Negara mengadakan dua kali sesi libat urus dengan 21 badan agama, kebudayaan dan perniagaan Cina.

Antaranya ialah Malaysian Buddhist Association, Persekutuan Persatuan Taoist Malaysia, Lutheran Church of Malaysia, Malaysian Chinese Muslim Association dan Fo Guang Shan.

Susulan bantahan disuarakan pihak itu, pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah melontarkan persoalan mengapa wakil-wakil persatuan Cina yang dilantik tidak memberikan nasihat betul berasaskan budaya bangsa?

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau turut menyoal sama ada nasihat mereka tidak berasaskan kepada budaya bangsa sehingga ultra kiasu bagai cacing kepanasan.

“Saya bukan siapa-siapa pun untuk memberikan pandangan. Apapun, setelah diasak dan didesak kiri kanan oleh ultra kiasu, kerajaan terpaksa tunduk, walaupun dikatakan, sudah banyak pandangan pakar diambil kira.

“Bandingkan, ketika merangka SOP bulan puasa, hari raya puasa, hari raya kurban tahun lepas, pernah kerajaan seteliti ini? Memanggil pakar dan wakil untuk membincangkan SOP ini, dalam menjaga sensitiviti budaya penganut majoriti Islam?,” soalnya.

Mengimbas kembali, Prof Mohd Ridhuan Tee berkata, apabila SOP dikeluarkan – ‘tanpa sensitiviti budaya Melayu Islam’ dalam berhari raya – umat Islam mematuhinya tanpa banyak bicara.

“Sekali bertentangan dengan ‘budaya hari raya’ ultra kiasu kononnya, habis menggelabah kita semua. Macam nak kiamat. Goncang habis. Macamlah mereka ini mengundi Perikatan Nasional (PN).

“Dalam memahami keutamaan, apabila kepentingan nyawa bertembung dengan kepentingan budaya, maka kepentingan nyawa perlu diutamakan. Bukan budaya tidak penting, tetapi nyawa lebih penting.

“Kenapa kena pada kita, kita menjadi tidak sensitif. Tetapi kena pada orang lain, kita teramat sensitif. Habis dasar berubah, keputusan ditarik secara tiba-tiba,” katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa semua sensitiviti kaum dalam negara berbilang bangsa perlu dijaga, namun dalam tindakan ia perlu dilakukan secara adil.

“Buat pertimbangan atas neraca keadilan, bukan politik. Jangan kerana, pertimbangan yang adil telah dibuat, tetapi disebabkan desakan dan ugutan kita tunduk. Kononnya, takut undi lari.

“Seyogia saya nak ingatkan, bagilah apa pun kepada ultra kiasu ini, jangan harap undi akan berbalik kepada PN dalam PRU15 akan datang. Ultra kiasu tetap ultra kiasu,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button