Artikel KhasBerita Utama

Dilema rakyat marhaen di tanah air sendiri

Adakah kesejahteraan rakyat dijaga dengan baik bila menjadi YB?

SUDAH jatuh ditimpa tangga…”

Itulah peribahasa Melayu yang tamsil terhadap beberapa buah kampung di sekitar kawasan Inderapura, Pekan, Pahang, iaitu di Kampung Semangat, Kampung Ubai dan Cherok Paloh dalam kekalutan rakyat berperang dengan pandemik COVID-19.

COVID-19 kini sudah mencapai angka hampir 5,000 pesakit baharu sehari, walaupun kehidupan seharian berjalan dengan norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan.

Setelah tibanya tahun baru 2021, secara tepatnya pada 8 Januari 2021, harta benda mereka telah musnah kerana musibah banjir yang tidak disangka berlaku dengan begitu pantas.

Tujuh daerah lain seperti di Temerloh, Maran, Kuala Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan turut menghadapi musibah yang sama.

Pengalaman saya bersama beberapa aktivis Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyantuni mangsa banjir selepas seminggu lebih banjir berlaku, rata-rata mereka sangat bersyukur dan berterima kasih kerana menerima bantuan barangan keperluan seperti dapur, toto, telekung, beg sekolah dan lain-lain yang sangat diperlukan pada ketika itu.

“Alhamdulillah, hari ini dapatlah kita makan masakan yang dimasak atas dapur ni”, ucap mereka.

“Sebelum ni masak guna apa ye dik?”, tanyaku kepada mereka.

“Atas dapur picnic yang dibeli di pasaraya,” ujar adik Nur, seorang pelajar dari universiti awam yang tinggal bersama ibunya yang juga merupakan seorang ibu tunggal.

Seorang lagi mangsa banjir, Puan A, rumahnya yang diperbuat daripada papan telah rosak teruk. Pintu dan tingkap menjadi kembang, perabot dan barangan elektrik semuanya musnah. Beliau hanya tidur bersama empat orang anaknya dengan hanya beralaskan dua toto yang dihadiahkan oleh mereka yang dermawan.

Sehingga sekarang beliau masih belum pulih daripada kesedihan akibat musibah yang menimpa keluarganya. Suaminya pula telah lima bulan terlantar di rumah akibat stroke dan hanya bergerak dengan bantuan kerusi roda.

Puan A hanya bekerja dengan pendapatan sebanyak RM1200.00 sebulan untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya. Sekiranya ditinjau lagi kehidupan mereka dengan lebih dekat dan bukan secara one-off terutamanya keadaan pasca banjir ini pasti banyak lagi cerita sedih dan kesusahan mereka akan kita dengari.

Saya tertanya-tanya sama ada pihak berwajib telah benar-benar menyantuni mangsa-mangsa banjir dengan sewajarnya dengan menyalurkan bantuan secara pantas dalam bentuk kewangan dan barang-barang keperluan.

Adakah pihak bertanggungjawab benar-benar prihatin dan cakna mengenai nasib rakyat marhaen yang sangat-sangat memerlukan ini kerana hidup mereka ketika fasa ini perlu diteruskan dalam keadaan serba kekurangan.

Isu banjir adalah satu bencana alam yang tidak harus dipandang sebagai lumrah setiap kali musim tengkujuh tiba.

Banjir ini boleh menyebabkan kerosakan harta benda yang banyak dan kemungkinan juga berlakunya kehilangan nyawa, di samping boleh melumpuhkan rangkaian pengangkutan dan perhubungan awam.

Oleh itu, apakah langkah-langkah bijak dan prihatin yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam menanganinya? Antara saranan yang boleh dilakukan adalah;

1. Kajian yang bersungguh dan teliti mesti dijalankan oleh agensi kerajaan yang terlibat bagi mengenalpasti faktor-faktor yang membawa kepada banjir berlaku di sesuatu kawasan atau daerah.

Faktor yang boleh dihindari seperti penerokaan tanah secara haram yang didedahkan baru-baru ini seperti yang berlaku di daerah Raub dan daerah-daerah lainnya menjadi salah satu penyebab kepada berlakunya bencana banjir yang teruk.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, dalam kenyataanya telah memberi amaran risiko banjir teruk setiap tahun khususnya di Negeri Pahang, sekiranya aktiviti ‘pembersihan hutan’ dibiarkan berterusan tanpa adanya sistem tadahan air sebagai penampung.

Aktiviti pembersihan hutan khususnya pembalakan jika dilakukan tanpa kawalan atau secara haram menjadi faktor penyebab ketidakstabilan aspek Geologi dan menyebabkan bencana banjir berlaku secara tidak terkawal.

2. Semasa berlaku hujan yang dijangka turun secara berterusan selama beberapa hari dan menyebabkan banjir berlaku, kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama agensi-agensi terbabit perlu bersiap siaga dan memberi amaran serta peringatan kepada penduduk kampung atau kawasan yang berkenaan.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga dari aspek keselamatan jiwa serta harta benda mereka.

Kerajaan Negeri perlu membina tempat awam yang disediakan di tempat yang lebih tinggi bagi menyimpan barangan elektrik dan kelengkapan para penduduk seperti peribahasa ‘berjaga sebelum terkena’.

Bukan hanya menanti sehingga banjir telah menenggelamkan harta benda mereka, barulah hendak bertindak.

3. Selepas bencana banjir berlaku, pihak kerajaan negeri terus menyampaikan bantuan dalam bentuk kewangan untuk meringankan kesusahan, kehilangan serta kemusnahan harta benda mangsa banjir.

4. Dari semasa ke semasa, Yang Berhormat (YB) sekalian yang mewakili rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen wajib menemui rakyat marhaen yang ditimpa musibah.

Itulah sikap jujur dan prihatin seorang pemimpin yang telah diberi tanggungjawab menjaga, memimpin dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Barulah bermakna undi yang telah diberikan rakyat kepada pemimpin yang mampu mempertahankan watan, berwibawa dalam menjalankan amanah tugas serta berhikmah dalam menangani segala masalah dan kemelut yang melanda rakyat serta negara.

Apakah erti sebuah kemerdekaan pada rakyat sekiranya setelah 63 tahun, ahli politik melemparkan berbagai slogan; Demi Rakyat, Rakyat Diutamakan, Wawasan Kemakmuran Bersama dan berbagai lagi janji-janji manis untuk meraih sokongan rakyat.

Hanya sanya bila sudah menjadi YB, adakah kesejahteraan rakyat telah dijaga dengan baik?

Pemimpin yang beriman kepada Allah dan hari akhirat sepatutnya takut untuk cuai dalam tugas dan tanggungjawab untuk menjaga rakyat dibawahnya. Hatta untuk menyelewengkan harta negara untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Moga Allah selamatkan tanah air kita Malaysia yang tercinta ini dari segala musibah dan mara bahaya yang tidak mampu kita lalui.

Wallahua’lam.

Dr Rashidah Abdul Rahman,
Ketua Wanita BERJASA Pahang

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button