Berita Utama

Judi: 68 individu termasuk warga China ditahan dalam 12 serbuan

Jadikan kondominium sebagai pusat operasi judi dalam talian

BANGI, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Polis menahan 68 individu dipercayai terbabit dengan sindiket judi dalam talian, dalam 12 serbuan dilakukan di kondominium sekitar Dang Wangi, di ibu kota, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu hingga semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 individu warga tempatan termasuk seorang wanita dan 42 lelaki serta 10 wanita warga China berusia antara 18 tahun hingga 45 tahun.

Siasatan awal polis mendapati kediaman di kondominium berkenaan dijadikan sebagai pusat operasi perjudian yang disewa dengan kadar bayaran bulanan antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi tempoh satu hingga tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kegiatan itu dipercayai beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 11 malam mengikut syif.

Katanya, hasil serbuan, pihaknya merampas 39 komputer, 238 telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM81,539.

“Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63

“Sebanyak 12 kertas siasatan dibuka dengan lima kes sudah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan, manakala tujuh lagi kes masih dalam siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius isu kegiatan judi dan akan mempergiatkan operasi untuk membanteras kegiatan perjudian haram terutamanya judi dalam talian.

Mohamad Zainal turut memohon kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan judi dalam talian di sekitar daerah Dang Wangi.

Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) IPD Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button