Berita Utama

Kerajaan Perak digesa campur tangan isu Gunung Lanno

Perlu lakukan sesuatu supaya khazanah alam tidak pupus akibat pembangunan

SHAH ALAM, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menggesa kerajaan Perak campur tangan dalam isu Gunung Lanno, susulan kawasan berkenaan menjadi semakin terancam apabila dijadikan zon kuari.

Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil kecewa apabila ada pihak seolah-olah lepas tangan dalam isu berkenaan.

Katanya, meskipun pentadbiran kerajaan negeri Perak silih berganti, namun sehingga kini tiada siapa yang berani menghentikan aktiviti kuari itu.

Walhal, aktiviti kuari ini sudah bertahun-tahun beroperasi dan semakin menjejaskan kelestarian kawasan sekitar.

“Kenapa Menteri Besar tidak mahu campur tangan dalam hal ini?

“Sebagai pihak yang mempunyai kuasa mutlak, kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu agar khazanah alam paling bernilai ini tidak pupus akibat pembangunan serta perbuatan rakus manusia,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan Gunung Lanno yang berketinggian lebih 370 meter, berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai.

Gunung terbesar di Lembah Kinta yang memiliki lebih 30 gua batu kapur cantik dan unik itu kian musnah apabila ada lebih 20 kilang kuari ditempatkan di zon berkenaan.

Aktivis Kinta Valley Watch, Ching Boon Tat, 38, berkata, keindahan hutan batu kapur mula terjejas apabila kawasan berkenaan dijadikan sebagai zon kuari.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina menegaskan, kemusnahan Gunung Lanno akan membawa bencana berterusan kerana persekitaran memberi kesan besar terhadap kehidupan manusia.

Justeru, beliau memohon kerajaan negeri bertindak pantas memulihara gunung ini.

“Kita terlampau memikirkan tentang pandemik COVID-19 sehingga mengabaikan tentang penjagaan alam. Ini satu kesilapan besar.

“Gunung umpama tiang kepada alam, kalau semakin ditarah atau dimusnahkan, tidak mustahil akan berlaku gegaran di kawasan sekitar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button