Dunia

NLD gesa PBB tak iktiraf pentadbiran tentera Myanmar

Dakwa ada diplomat asing sedia kerjasama dengan pemerintah tentera

YANGON, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin –  Bekas parti pemerintah Myanmar – yang digulingkan – menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Majlis Pentadbiran Negara yang dibentuk susulan rampasan kuasa tentera di negara itu. 

Majlis itu ditubuhkan pada 2 Februari lalu berikutan penahanan sejumlah pegawai dan pemimpin kerajaan – yang diketuai ketua tentera Myanmar. 

Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) – diketuai pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi, juga antara yang ditahan sewaktu rampasan kuasa tentera – mengeluarkan kenyataan meminta PBB tidak mengiktiraf pemerintahan tentera. 

Menyifatkan rampasan kuasa itu tidak sah, NLD menggesa pihak kedutaan untuk tidak bekerjasama dengan pemerintah tentera.

Anggota Jawatankuasa Eksukutif Pusat NLD, Aung Kyi Nyint berkata, pihaknya menyedari terdapat beberapa diplomat asing bersedia untuk bekerjasama dengan pemerintah tentera, namun tidak menyatakan lanjut dakwaan itu. 

“Rampasan kuasa tidak sesuai dengan Perlembagaan dan pemerintah yang dipimpin oleh Presiden Win Myint yang ditahan masih kerajaan sah. 

“Tiada negara yang harus mengiktiraf pentadbiran tentera jika mereka menghormati norma demokratik,” katanya. 

Suu Kyi dan pemimpin awam lain ditahan oleh tentera sebelum Parlimen bermula 1 Februari lalu, selepas pilihan raya umum pada November yang menyaksikan partinya menang besar. 

Suu Kyi, walaupun dianggap terkenal di Myanmar, imejnya di peringkat antarabangsa tercalar ekoran tindakan kerasnya terhadap minoriti Rohingya pada 2017.

Kini, ribuan rakyat menyertai tunjuk perasaan antirampasan kuasa bagi menuntut pembebasan Suu Kyi serta mendesak demokarasi dikembalikan ke negara itu.

Di Yangon, lebih 1,000 orang berkumpul mengadakan demonstrasi tiga hari berturut-turut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button