Berita Utama

Hina Islam: PAS akui banyak kelemahan pada perundangan

Tindakan undang-undang lebih tegas diperlukan tangani penghina Islam

BANGI, 22 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Satu tindakan undang-undang yang lebih tegas diperlukan bagi menangani kes penghinaan terhadap agama Islam di negara ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersetuju bahawa undang-undang tegas perlu dikenakan terhadap penghina Islam, apatah lagi perundangan sedia ada masih banyak kelemahan.

Beliau berkata, Islam perlu diperkasakan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan dan menjadi agama negara.

“Kita akan mengambil tanggungjawab serta memantau dari semasa ke semasa. Bila tiba masanya kita akan bertindak.

“Memang (tindakan undang-undang tegas) perlu sebab Islam dalam Perlembagaan, Islam agama negara,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pelbagai kes penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW yang berlaku di Malaysia kebelakangan ini.

Sebelum ini, majoriti umat Islam mengecam tindakan Siti Nuramira Abdullah yang menghina Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Tidak lama selepas itu, seorang penghantar makanan pula ditahan kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik menghina agama Islam serta Rasulullah di YouTube.

Kemudian menyusul pula penahanan seorang lelaki berusia 35 tahun kerana memuat naik video penghinaan melalui laman Facebook dengan nama samaran yang jelas menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Setakat ini, individu yang didakwa menghina Islam boleh disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button