SOP perayaan: Rakyat tak sanggup berdepan kluster Tahun Baru Cina
MCA-DAP bersikap tak matang, penting diri pertikai SOP MKN

BANGI, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Tidak mustahil pihak lain akan mempertikaikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), apabila ‘sedikit’ kelonggaran diberikan untuk perayaan Tahun Baru Cina, minggu ini.
Kebimbangan itu disuarakan Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang, Ustaz Ibrahim Hassan al-Hafiz, susulan perubahan SOP Tahun Baru Cina, yang ‘ditambah baik’ setelah mendapat protes agresif daripada pemimpin MCA dan DAP.
Sebelum ini, pemimpin MCA dan DAP dilaporkan membantah SOP yang ditetapkan, selain menggesa kerajaan menyemak semula serta melakukan penambahbaikan.
Seperti dijangka, Mesyuarat Teknikal MKN semalam meluluskan penambahbaikan SOP untuk perayaan itu, di mana makan besar keluar pada malam Tahun Baru Cina dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat, yang tinggal dalam zon lingkungan 10 kilometer radius tanpa rentas daerah dan negeri.
Mengulas perkara itu, Ustaz Ibrahim menyifatkan bantahan MCA dan DAP terhadap pelaksanaan SOP terbabit mencerminkan sikap tidak matang dan pentingkan diri, tatkala negara bergelut melandaikan kes COVID-19.
“Negara sedang berada dalam keadaan kritikal ketika berhadapan gelombang ketiga yang mencatatkan jumlah kes tertinggi harian sebanyak 5,728 minggu lepas dan timbul pula pihak yang ingin mengeruhkan keadaan.
“SOP MKN bertujuan mengekang penularan kes yang kini sudah wujud dalam komuniti, dan pastinya (penetapan SOP) sudah mempertimbangkan serta mengambil kira bilangan kes semasa dan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti,” katanya.
Malah, beliau percaya ketetapan itu sudah mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum SOP perayaan Tahun Baru Cina diputuskan.
“Jika SOP MKN dipertikai, maka banyak lagi pihak akan mempertikaikannya terutama membabitkan survival kehidupan dari sudut ekonomi seperti sektor yang dipaksa tutup dan hilang pekerjaan.
“Sektor ini adalah lebih kritikal daripada perayaan yang membabitkan rentas daerah dan perhimpunan sosial,” katanya.
Bahkan, Ustaz Ibrahim berkata, sektor agama juga akan berpendirian sama memandangkan aktiviti keagamaan adalah lebih penting berbanding kebudayaan.
Justeru, katanya, janganlah kerana kepentingan sesetengah pihak, akhirnya ia memudaratkan semua rakyat.
“Rakyat kini bimbang dengan peningkatan kes yang semakin meningkat dan sedaya upaya mematuhi SOP PKP 2.0.
“Manakala, frontliners berpenat lelah merawat kes dan memastikan SOP dipatuhi. Masyarakat kini tidak sanggup lagi berdepan gelombang keempat atau kluster akibat perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.