Berita Utama

Jika kes Nik Elin menang, semua enakmen syariah negeri lain bakal alami nasib sama

MP Melayu Islam perlu sepakat gubal Perlembagaan perkukuh Mahkamah Syariah

PUTRAJAYA, 6 Jamadilawal 1445H, Isnin – Walaupun agama Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, namun bidang kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1984) sebenarnya amat terhad.

Lebih malang, sisa-sisa bidang kuasa yang amat kecil ini pula cuba dicabul oleh individu yang amat membenci Islam, kata Naib Presiden BERJASA, Muhammad Ir. Ts. Lukman Al Hakim Mohamad.

Justeru, beliau hadir dalam Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya, hari ini sebagai menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada usaha melindungi serta memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia.

Katanya, usaha memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia merupakan satu usaha jangka masa panjang yang tidak mudah kerana kerangka Perlembagaan sedia ada masih berasaskan undang-undang Barat.

“Dengan kes Iki Putra dan yang terkini Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dengan didukung pelbagai entiti liberal termasuk Sister In Islam (SIS), ini mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah.

“Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengistiharkan supaya 20 seksyen Mahkamah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan terbatal dan tidak sah. Ini termasuklah peruntukan berkaitan memusnahkan tempat ibadah, jenayah liwat serta pelbagai kesalahan seksual yang lain

“Jika Nik Elin Zurina menang, semua Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri-negeri lain akan mengalami nasib yang sama mengakibatkan runtuhnya kuasa Mahkamah Syariah secara total di negara kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, setiap pihak perlu memainkan peranan yang produktif mengikut kepasiti masing-masing. 

“Kami menggesa semua Ahli Parlimen Melayu beragama Islam untuk bersepakat menggubal Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan bagi melindungi dan memperkukuhkan Mahkamah Syariah di Malaysia.

“Ini termasuklah menggubal Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Undang-Undang Sivil 1956 yang mengikat undang-undang negara kepada England Common Law yang merupakan tinggalan penjajah.

“Sesi-sesi penerangan dan libat urus juga perlu dilakukan secara berstrategi dan tersusun bagi mendidik pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat yang rata-rata masih cetek pengetahuan dan kesedaran tentang isu perundangan ini,” katanya.

Pada masa sama, remaja dan pemuda pemudi yang bijak dan berwibawa juga perlu digalakkan mempelajari serta mendalami bidang undang-undang terutamanya Undang-undang Syariah supaya negara dapat melahirkan lebih ramai pakar perundangan Islam pada masa akan datang

“Jihad perundangan ini amat panjang dan berliku. Semoga Allah SWT menyatukan ummat ini atas perjuangan yang mulia sebagai asbab untuk membawa kita semua ke syurga insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan Nik Elin hari ini, Mahkamah Persekutuan menangguhkan kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian, untuk memutuskan petisyen oleh seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Petisyen yang difailkan Nik Elin dan Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan, adalah bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat, berkata mahkamah akan menetapkan keputusan itu kemudian.

Beliau berkata demikian selepas selesai mendengar hujahan antaranya daripada peguam mewakili SIS, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Majlis Peguam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button