Berita Utama

Tabung Musa’adah belanja RM4 juta bantu golongan memerlukan

'Rancangan kita kalau boleh tiada Parlimen tidak kita santuni'

PUTRAJAYA, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Tabung Musa’adah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Waqaf Malaysia (Jakim-YWM) telah menyalurkan RM4 juta bagi membantu golongan memerlukan yang terkesan akibat pandemik itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata tabung itu secara keseluruhannya telah menerima sumbangan kira-kira RM6 juta daripada syarikat korporat dan individu sejak dilancarkan pada Mac tahun lepas.

“Kita mengadakan perbincangan setiap dua minggu sekali, kita sasarkan dan selaraskan (bantuan) dengan sebaik mungkin dan kita boleh lakukan dengan lebih tepat dan tersusun,” katanya selepas melepaskan Konvoi Program Musa’adah Bantuan Pasca-Banjir Jakim-YWM ke Dungun, Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata agensi-agensi di bawah tanggungjawabnya turut melaksanakan program bantuan untuk golongan memerlukan termasuk mangsa banjir membabitkan perbelanjaan kira-kira RM15 juta pada bulan lepas.

“Kita pergi seluruh Malaysia. Rancangan kita kalau boleh tidak ada mana-mana kawasan parlimen yang tidak kita santuni,” katanya.

Pada majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan RM24,400 kepada 122 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada keluarga B40 yang terkesan akibat COVID-19 dan RM2,000 kepada seorang lelaki dari Sarawak yang sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sebanyak RM15,000 pula disumbangkan kepada Pasukan Pengurusan Jenazah COVID-19, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi membiayai kos saringan COVID-19 untuk 60 anggota pasukan itu.

Zulkifli berkata orang ramai boleh menyumbang kepada Tabung Musa’adah COVID-19 Jakim-YWM melalui akaun CIMB Islamic Bank Bhd Yayasan Waqaf Malaysia 86-0221818-6. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button