Utamakan vaksin untuk guru bantu percepat PdP secara semuka
Sekolah boleh dibuka lebih awal elak keciciran murid: iGuru

BANGI, 26 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) bersetuju sekiranya warga pendidik diberi keutamaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19, selain petugas kesihatan, keselamatan dan kumpulan berisiko.
Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, langkah mengutamakan guru dalam pemberian vaksin membolehkan sesi persekolahan secara bersemuka di seluruh negara dipercepatkan.
Malah, keutamaan itu perlu diberikan kepada kumpulan guru yang bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana sangat memerlukan kepada aktiviti pembelajaran secara bersemuka.
“Saya yakin jika guru mendapat suntikan ini, sekolah mungkin dapat dibuka lebih awal dan pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan.
“Ini dapat menyelamatkan keciciran murid akibat daripada kekangan pembelajaran secara dalam talian,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) dan Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) meminta supaya guru dan pendidik diberi keutamaan dalam pelaksanaan program imunisasi yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Presiden PIBGN, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Presiden PFM Amrahi Buang dalam kenyataan bersama berkata, keutamaan ini wajar demi memastikan persekitaran selamat untuk anak-anak serta memberikan kestabilan ekosistem pendidikan.
“Tindakan ini akan mengurangkan kebimbangan dan keresahan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah masing-masing,” katanya.
Program Imunisasi COVID-19 akan bermula hujung bulan ini dengan sasaran sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma membabitkan tiga fasa.