Berita UtamaIstimewa

Inilah natijah pilih Tommy Thomas, ketepikan peguam Melayu wibawa

Tarik semula darjah kebesaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada bekas AG

BANGI, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Rakyat boleh menilai sendiri kredibiliti bekas Peguam Negara, Tan Sri Thommy Thomas – pilihan Pakatan Harapan (PH) – yang menulis buku bertaraf ‘sampah’, penuh dengan penipuan serta penyelewengan.

Lebih mengecewakan apabila seorang bekas Peguam Negara yang amat arif selok belok sistem perundangan negara, tergamak menghasilkan buku yang memanipulasi fakta, kata pemerhati politik, Ir Lukman Al Hakim Mohamad.

“Kini rakyat boleh menilai dengan jelas kewibawaan para pimpinan PH terutama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melantik Thommy Thomas sebagai Peguam Negara. 

“Inilah natijahnya mengenepikan ramai lagi peguam Melayu yang berprestasi dan berkapasiti tinggi,” katanya. 

Mengulas mengenai buku kontroversi Tommy, Lukman berkata, nada tulisan bekas Peguam Negara itu dilihat cuba mempertahankan diri sendiri. 

Namun, malangnya, pekung kelemahan pentadbiran kerajaan PH yang diketuai oleh Dr Mahathir turut terdedah.

Selain itu, cubaan menghina institusi mahkamah dan raja di Malaysia seharusnya di bawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal.

“Pihak berkuasa mesti menyiasat buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ dan diurus mengikut undang-undang negara yang sepatutnya.

“Saya menyarankan juga Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri yang dikurniakan kepada Tommy pada September 2019, ditarik semula,” katanya. 

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dipetik berkata, kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara itu dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah.

Katanya, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kertas siasatan ketiga pula dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button