Pendapat

24 jam terakhir Khalifah Uthmaniyah Turki

Detik tidak harus dilupakan begitu sahaja oleh umat Islam

LAHIR 21 September 1842. Meninggal 10 Februari 1918.

Tanggal 10 Februari adalah tarikh ulang tahun ke-103 kemangkatan Sultan Abdul Hamid Khan, pemerintah ke-34 dari Khilafah Uthmaniyah Turki. Sebagai memperingati tarikh bersejarah ini, surat khabar Daily Sabah telah menerbitkan satu rencana khas (dalam Bahasa Turki) bertajuk “Detik-detik 24 jam terakhir dalam hidup Sultan Abdul Hamid”.

Sebahagian besar dari rencana asal tersebut telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Berikut adalah terjemahan Bahasa Malaysia dari versi Bahasa Inggerisnya:

9 Februari 1918.
Menjelang malam, kesihatan Sultan semakin buruk. Doktor telah datang dan selepas memeriksanya, beliau memaklumkan bahawa Sultan telah dijangkiti jangkitan paru-paru berair (pneumonia). Bagaimanapun, tidak ada apa-apa yang berlaku pada malam itu.

10 Februari 1918.
Keesokan paginya, Sultan bangun dan ingin mengambil wudhu’. Keadaan baginda sangat uzur dan semua ahli keluarga baginda melarangnya mengambil wudhu’. Bagaimanapun baginda tetap bertegas untuk mengambil wudhu’, dan kemudiannya menunaikan solat Fajr/Subuh dalam keadaan serba kepayahan.

Pada siangnya, doktor sekali lagi datang dan membuat pemeriksaan darah Sultan. Para pegawai istana memanggil semua anak-anak Sultan dan memaklumkan bahawa keadaan baginda tidak memberangsangkan dan justeru itu mereka semua harus datang berjumpa baginda.

Lama-kelamaan, keadaan kesihatan Sultan semakin buruk. Sultan menyampaikan hasrat untuk meminum kopi. Kemudian baginda memanggil puterinya mendekat dan mendoakan puterinya: “Wahai puteriku, semoga Allah redha kepada kamu.” Kemudian baginda bersuara dengan lemah: “Allah!”
Dengan kalimat terakhir itu, kepala baginda terkulai sedikit. Sultan Abdul Hamid telah wafat!
Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi pada 10 haribulan Februari 1918.

Apabila tersebarnya berita kemangkatan Sultan Abdul Hamid, orang ramai mula menangis. Keesokan paginya, jasad baginda dibawa ke Istana Topkapi. Solat jenazah baginda diadakan di situ dan kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan Divanyolu di mana baginda disemadikan bersebelahan kubur bapa saudara baginda, Sultan Abdul Aziz.

Begitulah kisah pengakhiran seorang Khalfah yang dikatakan telah berjaya menangguhkan kejatuhan Khilafah Uthmaniyah Turki selama 30 tahun.

Membesar di zaman Tanzimat, iaitu tempoh pembaharuan Khilafah Uthmaniyah Turki yang bermula pada tahun 1839, Sultan Abdul Hamid fasih bertutur dalam bahasa-bahasa Arab, Perancis dan Parsi. Beliau kerap mengembara bersama bapa saudaranya, Sultan Abdul Aziz ke benua Eropah dan juga Mesir di mana pengalaman ini telah menajamkan pengetahuan dan kefahamannya tentang perkembangan dunia semasa.

Ketika baginda menaiki takhta pada 31 Ogos tahun 1876, kerajaan Uthmaniyah sedang menghadapi pelbagai masalah dan ancaman, dari dalam dan juga luar negara. Pada bulan Disember tahun yang sama, baginda telah menandatangani satu dokumen yang dikenali sebagai Qanun Asasi, yang merupakan dokumen Perlembagaan pertama bagi Khilafah Uthmaniyah.

Baginda memang mahir dalam dasar-dasar luar dan mengikuti perkembangan geopolitik dunia dengan mendalam. Malah, pusat perisikan negara juga ditubuhkan dan beroperasi di dalam istana sendiri.

Pada 13 April 1909, sekumpulan rakyat yang tidak berpuashati dengan corak pemerintahan Sultan Abdul Hamid dan ingin menjatuhkan pemerintahan diraja dengan kerajaan berperlembagaan telah melancarkan satu gerakan rusuhan rakyat di Istanbul. Rusuhan berdarah ini memakan masa selama 11 hari.

Sultan Abdul Hamid dipecat dari takhta pada 27 April 1909 setelah memerintah selama 33 tahun dan digantikan dengan adik lelakinya, Muhammad V.

Pada malam yang sama baginda dipecat dari takhta, baginda telah dihantar ke Thessaloniki (satu wilayah dalam negara Greece hari ini) bersama-sama dengan satu rombongan seramai 38 orang, termasuk ahli keluarga baginda.

Tiga tahun selepas itu iaitu pada 1 November 1912, Sultan Abdul Hamid dihantar kembali ke Istanbul, di mana baginda menghabiskan hari-hari terakhir baginda di Istana Beylerbeyi, yang terletak di dalam daerah Uskudar.

Artikel yang sangat ringkas ini tidak dapat menggambarkan dengan adil semua pengorbanan dan perjuangan Sultan Abdul Hamid sebagai Khalifah terakhir dari rangkaian khilafah Islam selepas kemangkatan Nabi Muhammad ﷺ. Tanah jajahan dunia Islam yang sangat luas di zaman pemerintahan Khilafah Turku Uthmaniyah tidak dapat bertahan atau menandingi kebangkitan Dunia Barat/Eropah moden yang menyimpan nafus yang sangat besar dan meluap-luap terhadap Khulafah Turki Uthmaniyah ini.

Dendam ini terpancar dalam misi Kristianisasi mereka untuk mengkristian umat manusia, sebagai rentetan dari Perang Salib. Lebih dahsyat lagi, Sultan Abdul Hamid merupakan Khalifah yang sangat tegas dan kukuh pendiriannya terhadap agenda Zionis untuk mendirikan sebuah negara bagi bangsa Yahudi, meskipun pemimpin sekular Yahudi, Theodore Hertzl telah menawarkan untuk melunaskan/melangsaikan semua hutang luar Khilafah Uthmaniyah sekiranya baginda memberi tanah di Palestin kepada bangsa Yahudi.

Selama 33 tahun memerintah, baginda terpaksa berhadapan dengan pengkhianatan dari kalangan ahli keluarga dan pegawai-pegawai istana, dengan muslihat dan agenda jahat musuh-musuh politik dan juga negara-negara Eropah/Barat. Tidak terkecuali dengan beberapa percubaan membunuh baginda.

Betapa kuat dan hebat sekalipun Sultan Abdul Hamid cuba membawa pemerintahan Othmaniyah Turki untuk menghadapi dan melepasi semua ancaman ini, realiti dunia moden ketika itu tidak memberi nafas kepada baginda untuk bergerak dengan segala kekuatannya. Kebangkitan negara-negara Arab dengan semangat asabiyah dan nasionalisme (yang dimulakan melalui hasutan pihak British) ditambah dengan peranan pegawai-pegawai tentera yang dikenali sebagai Young Turks diketuai oleh Kamal Attaturk, akhirnya telah memberi pukulan maut kepada kekuatan dan kegemilangan Khilafah Turki Uthmaniyah pada tahun 1924.

Itulah tragedi paling besar bagi umat Islam selepas kemangkatan Sultan Abdul Hamid, Khalifah yang telah mempersembahkan seluruh hidup baginda untuk Islam dan berkhidmat penuh setia kepada umat Islam.

Sekiranya pembaca ingin menilai atau menelaah tentang rahsia kebangkitan Khilafah Turki Uthmaniyah ini, mahu tidak mahu pembaca perlu meneliti sejarah awal bagaimana pemerintahan ini diasaskan.

Segala-galanya bermula dengan sebuah kabilah bernama Kayi di zaman terakhir pemerintahan kerajaan Saljuk. Kabilah yang diketuai oleh seorang pemimpin bernama Ertughrul telah meletakkan batu asas pertama kepada pemerintahan kerajaan Uthmaniyah. Setelah kematian Ertughrul, anaknya bernama Osman telah mengembangkan lagi gagasan untuk mengujudkan sebuah kerajaan yang kukuh, dengan menggabungkan semua kabilah Turki yang wujud (tetapi berpecah belah) ketika itu dan mengajak mereka untuk bersama beliau bagi menubuhkan sebuah kerajaan dan pemerintahan yang stabil.

Ertughrul dan Osman juga tidak terlepas dari menghadapi ancaman dan peperangan dengan kuasa Mongol dan Kristian Salibiyah ketika itu.

Menariknya, isu Palestin dan Baitulmaqdis merupakan agenda utama puak Kristian sejak dari zaman itu hinggalah ke zaman pasca-kejatuhan Khilafah Uthmaniyah Turki. Sultan Abdul Hamid sangat memahami agenda Zionis Yahudi di zaman pemerintahan baginda.

Demikianlah satu kisah kebangkitan umat islam yang sangat besar sekali iktibar dan pengajarannya.

Dari satu Kabilah hingga menjadi sebuah Daulah.

Proses kebangkitan yang turun temurun dan diwarisi selama hampir 800 tahun!
Justeru itu, detik-detik 24 jam terakhir kehidupan Sultan Abdul hamid, Khalifah terakhir umat Islam tidak harus dilupakan begitu sahaja oleh umat Islam.

Kesannya terasa hingga ke hari ini.

*****************************
Bagi sesiapa yang ingin mengikuti sejarah kebangkitan Khilafah Turki Uthaniyah dan juga kepada filem-filem sejarah, berikut saya kongsikan capaian di mana anda semua boleh menikmati sejarah yang difilemkan:

Kegemilangan Dinasti Saljuk – Uyanis Buyuk Selcuklu:
Pengasas Daulah Uthmaniyah Turki – Dirilis Ertughrul:
Pendiri Khilafah Uthmaniyah: Kurulus Osman:
Khalifah Sultan Abdul Hamid – Payitaht Abdul Hamid
Rujukan ringkas:

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button