Berita Utama

Bantah kuarantin 3 hari, menteri masih berisiko dijangkiti strain baharu

Data kematian meningkat, kenapa tak ambil iktibar daripada PRN Sabah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Kerajaan diminta mengkaji semula warta yang mengecualikan Jemaah Menteri daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan selama 10 hari, selepas pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara. 

Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, kelonggaran tempoh kuarantin hanya tiga hari kepada jemaah menteri sangat tidak wajar. 

Ini kerana, perintah itu tidak mempunyai asas saintifik dan selepas tiga hari, menteri masih mempunyai kemungkinan yang besar untuk menjadi pembawa kepada wabak COVID-19.

“Tempoh tiga hari untuk kuarantin tidak cukup dan tidak ada asas sains untuk perkara itu dibolehkan. 

“Apatah lagi menteri pulang dari luar negara, sewajarnya mereka dikenakan kuarantin seperti biasa kerana terdapat juga kemungkinan dijangkiti strain baharu virus COVID-19.

“Saya rasa kita tidak belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Data kematian kita kini setiap hari dua digit,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan tempoh kuarantin bagi menteri yang pulang dari mana-mana lawatan rasmi luar negara dikurangkan daripada 10 hari kepada tiga hari berkuat kuasa, Rabu, 9 Februari 2021.

Perkara itu dinyatakan dalam warta Kerajaan Persekutuan terbaharu di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara hari ini.

Perintah itu dinamakan ‘Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021’ mengikut kuasa (Akta 342) Seksyen 29 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan telah ditandatangani Dr Adham.

“Tertakluk kepada perenggan 3, Menteri mengecualikan Jemaah Menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian Seksyen 15 Akta.”

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button